CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 26467|Reply: 0

[Perak] Perak pertimbang pemasangan CCTV di sekolah

[Copy link]
Post time 18-12-2023 07:20 PM | Show all posts |Read mode

MOHD. Azlan Helmi Helmi bercakap kepada pemberita di kediaman keluarga pelajar lelaki tingkatan lima di Taman Chepor Sentosa Chemor, Ipoh, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA




IPOH: Kerajaan negeri akan menimbang cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap sekolah di negeri ini bagi merakam sebarang insiden yang berlaku di persekitaran sekolah.

Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd. Azlan Helmi Helmi berkata, rakaman CCTV itu dilihat dapat membantu memberi maklumat sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terutama melibatkan siasatan pihak berkuasa.

Katanya, cadangan itu bagaimanapun memerlukan perancangan dan perbincangan rapi kerana melibatkan kos yang tinggi.

“Kita boleh bawa cadangan ini dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan datang dan mungkin juga perlu penglibatan dari pihak Kementerian Pendidikan.

“Pemasangan ini merupakan cadangan yang baik, jika ada CCTV di setiap penjuru sekolah, kita dapat pantau dan cegah jika ada berlaku kejadian tidak diingini pada masa hadapan,” katanya.

Mohd. Azlan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Johari Kassim yang juga Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, di Taman Chepor Sentosa, Chemor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng dan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Sementara itu, mengulas permintaan keluarga Muhammad Zaharif Affendi agar video insiden kejadian meragut nyawa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu dipadamkan dari media sosial, beliau berkata, semua pihak perlu menghormati permintaan keluarga mangsa.

Katanya, sebahagian kandungan yang tersebar terutama rakaman detik-detik akhir mangsa menghembus nafas terakhir telah mengganggu emosi semua ahli keluarga yang mulai tenang.

“Bapanya sedih apabila teringatkan kejadian itu, jadi saya harap pengguna di luar sana ambil tanggungjawab menurunkan kandungan tersebut.

“Saya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu yang berdegil serta terus menyebarkan video insiden itu di media sosial,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu sekitar pukul 12.30 tengah hari, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu maut selepas dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta jenis Perodua Ativa dipandu seorang pegawai kanan polis.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... an-cctv-di-sekolah/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 05:11 PM GMT+8 , Processed in 0.062333 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list