|
TUCHEL mengemudi Chelsea muncul juara Eropah pada 2021. FOTO AFP
Munich: Pengurus Bayern Munich, Thomas Tuchel mengharapkan semangat rentak kemenangan Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2021 apabila melayan Arsenal pada suku akhir kedua, awal pagi Khamis ini.
Bayern mengetepikan masalah dalam aksi domestik apabila pulang dari London di suku akhir pertama dengan keputusan seri 2-2 menerusi jaringan penalti Harry Kane terhadap musuh lamanya.
Memandangkan anak buah Xabi Alonso, Bayer Leverkusen sudah menjulang trofi Bundesliga, UCL adalah satu-satunya fokus Tuchel bersama Bayern dan kemenangan ke atas Arsenal menyaksikan mereka mara ke separuh akhir.
Fokus sepenuhnya kepada UCL memberi kelebihan besar buat mereka, sedangkan Arsenal turut bergelut dalam persaingan tiga penjuru untuk merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tuchel melakukan tujuh rombakan ketika berhempas pulas untuk menang 2-0 di tempat sendiri ke atas pasukan sedang bergelut, Cologne, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Bayern akan berdepan Arsenal tanpa beberapa pemain pilihan utama apabila pertahanan Kanada, Alphonso Davies digantung perlawanan manakala penyerang, Serge Gnabry dan Kingsley Coman dibelenggu kecederaan.
Tuchel belum mendedahkan pengganti Davies, tetapi menyatakan akan melakukan 'sesuatu yang gila'.
Ditanya sama ada salah seorang bek tengah Bayern akan bermain sebagai bek kiri, sambil tersenyum, Tuchel berkata: "Tidak, kami mahu menang."
Pemain veteran Bayern, Thomas Mueller, yang pernah merangkul dua trofi Eropah menulis di media sosial menyatakan fokus sepenuhnya untuk Eropah.
"Kini, semuanya terarah ke Eropah. Malam ini, tekanan ini, suasana istimewa di Allianz Arena: saya teruja untuk melaluinya."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... tuk-singkir-arsenal |
|