View: 4493|Reply: 0
|
Apa sudah jadi Klopp, Liverpool?
[Copy link]
|
|
Riak wajah Mohamed Salah menggambarkan segala kekusutan dialami Liverpool pada masa ini ketika hujung musim semakin menjengah. – Foto premierleague.com
LIVERPOOL, England: Jurgen Klopp berada di ambang kegemilangan bagi meraikan perpisahan pada musim terakhirnya di Liverpool hanya beberapa minggu lalu, namun kini percakapan mengenai potensi meraih empat kejuaraan sudah lama dilupakan ketika The Reds mula dihantui pelbagai masalah.
Liverpool berdepan cabaran setinggi gunung jika mereka mahu layak ke separuh akhir Liga Europa awal pagi Jumaat ini sesudah tumpas aksi suku akhir pertama di laman sendiri kepada Atalanta 3-0.
Anak buah Klopp turut disingkirkan daripada Piala FA di tangan Manchester United bulan lalu ketika The Reds tumpas 4-3 aksi mendebarkan di Old Trafford.
Liverpool gagal belajar daripada kekalahan itu apabila mereka diikat 2-2 oleh United tiga minggu kemudian dan kemudian tunduk 1-0 di laman sendiri kepada Crystal Palace dalam dua aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus ketinggalan dua mata di belakang Manchester City dalam perebutan kejuaraan.
AFP Sport melihat apa silapnya hingga menyebabkan perpisahan Klopp berisiko berdepan kekecewaan.
Permulaan lembap
Kebiasaan Liverpool bangkit daripada kedudukan ketinggalan mulanya dipuji pada awal kempen sebagai petanda "mentaliti raksasa" yang dicipta Klopp sepanjang masanya di Anfield.
Mereka meraih 27 mata selepas ketinggalan dalam EPL musim ini, namun menyaksikan nasib tidak menyebelahi mereka menentang Palace Ahad lalu selepas satu lagi permulaan hambar.
Dalam semua pertandingan, Liverpool dibolosi gol pembukaan 21 kali musim ini.
"Ia cerita beberapa perlawanan terakhir dan itulah sebabnya kami dihukum," kata pertahanan kiri Andy Robertson mengenai permulaan buruk pasukannya. "Kami bergelut untuk mengelak daripada dibolosi ketika ini."
Krisis kecederaan pemain sering menghantui Jurgen Klopp (kanan) sepanjang musim terakhirnya di Anfield. – Foto premierleague.com
Penyudah tumpul
Dalam usaha menangani catatan sembilan perlawanan berturut-turut asyik dibolosi, barisan depan Liverpool juga bergelut untuk mencari gol ketika hujung musim semakin menghampiri.
Dalam enam perlawanan terakhir mereka dalam liga, juara Inggeris 19 kali itu menjaringkan sembilan gol daripada 149 percubaan, kadar penyudah enam peratus, yang mungkin antara terburuk dalam EPL musim ini.
Mohamed Salah kelihatan seperti hilang punca sejak kembali daripada kecederaan pangkal paha dialami pada Piala Negara-Negara Afrika.
Diogo Jota, sering kali dianggap sebagai penyudah paling berkesan di kelab itu, baru kembali daripada rehat dua bulan kerana kecederaan.
Luis Diaz, Darwin Nunez dan Cody Gakpo digabungkan menyumbat 45 gol musim ini namun kekal tidak konsisten di depan pintu gol lawan.
Trio itu dilabel sebagai "kusut" oleh bekas kapten Manchester United, Gary Neville berbanding gandingan Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane yang mengemudi kegemilangan Liverpool dalam musim awal Klopp.
Andy Robertson mengakui pasukannya bergelut untuk mengelak daripada dibolosi awal pasukan lawan. – Foto premierleague.com
Keletihan
Buruan empat kejuaraan kini mungkin menghantui Klopp ketika Liverpool kelihatan kehilangan tenaga untuk meneruskan cabaran yang lebih getir menanti mereka.
Mereka sudah beraksi 51 perlawanan musim ini dan mempunyai sekurang-kurangnya minimum tujuh lagi sebelum kempen semasa berakhir.
Beberapa pemain lulusan akademi tampil ketika krisis kecederaan pada awal bulan 2024 dan membantu memastikan Klopp sekurang-kurangnya meraih satu trofi dalam musim terakhirnya dengan memenangi Piala Liga pada Februari lalu.
Malah mereka juga mendapat kembali khidmat tonggak utama Alisson Becker dan Trent Alexander-Arnold di samping Jota dalam beberapa minggu terakhir ketika khidmat mereka amat dirasai pada musim sejuk.
Klopp mengakui selepas perlawanan dengan Palace dua pemain tengah, Alexis Mac Allister dan Wataru Endo bergelut kerana bebanan diletakkan di bahu mereka.
"Beberapa pemain terpaksa bermain banyak perlawanan dan beberapa pemain asyik terganggu – itulah situasinya serba sedikit," kata Klopp.
"Kami hanya perlu memastikan kami tidak terlalu memikirkan mengenainya – sama ada mereka cedera atau tidak – dan memastikan kami mencari jalan untuk mengalahkan lawan tertentu yang akan kami hadapi. Ia sering kali seperti ini." – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... adi-klopp-liverpool |
|
|
|
|
|
|
| |
|