|
Pengendali Manchester United, Erik ten Hag (kiri) dilaporkan berada dalam senarai pendek Bayern Munich bagi menggantikan Thomas Tuchel (kanan). - Foto AGENSI
MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan berada dalam senarai pendek Bayern Munich bagi menggantikan Thomas Tuchel.
Ia susulan tawaran gergasi Bundesliga itu ditolak oleh bekas bos United, Ralf Rangnick, yang mahu terus membimbing skuad kebangsaan Austria.
Dengan Tuchel akan meninggalkan kelab di akhir musim ini, spekulasi berkenaan calon penggantinya mula diperkatakan.
Kini dilaporkan, pencarian pengganti Tuchel di Bayern mula terarah kepada pengendali United itu.
Kedudukan Ten Hag di Old Trafford juga tidak terjamin dan pemilik baharu, Jim Ratcliffe mahu menggantikannya pada musim panas ini.
Difahamkan, Bayern Munich sudah menghubungi ejen Ten Hag, Kees Vos, untuk melihat jika pengendali dari Belanda itu berminat ke Bundesliga.
Ten Hag dipercayai mahu terus membimbing United, dan tumpuan utamanya kini ialah memenangi Piala FA musim ini.
Pada tahun 2013, Ten Hag pernah membimbing pasukan kedua Bayern selama tiga tahun.
Sepanjang bersama Bayern Munich II, Ten Hag membawa mereka memenangi Regionalliga Bayern.
Tuchel masih berpeluang menebus kekecewaan Bundesliga musim ini dengan membawa Bayern ke final Liga Juara-Juara Eropah.
Mereka terikat 2-2 dengan Real Madrid pada aksi separuh akhir pertama di Munich, dan akan bertandang ke Madrid untuk aksi timbal balik pada awal pagi Khamis. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... narai-pendek-bayern |
|