|
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee. Foto ihsan Sabah FC
KOTA KINABALU: Sabah FC berharap dapat memulihkan kekuatan pasukan menjelang perlawanan pertama Liga Super 2024/2025 menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas, 12 Mei ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata kelemahan termasuk dari segi kombinasi pemain sepanjang aksi pra musim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berakhir malam tadi diberi tumpuan untuk penambahbaikan pasukan.
Beliau mengakui banyak yang dipelajari dalam empat perlawanan sepanjang aksi berkenaan, selain peluang kepada semua pemain untuk mendapatkan minit permainan sebagai persiapan menghadapi Liga Super.
"Banyak yang kita pelajari di sini (kejohanan Piala SMJ), bukan saja kekuatan, kelemahan dan kecederaan, malah termasuk juga apa yang kita lakukan dalam semua perlawanan, ramai pemain diberi peluang untuk bermain.
"Jadi, saya berharap kita akan kembali pulih sepenuhnya sebelum kita bermain pada minggu depan (Liga Super)," katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala SMJ di antara Sabah FC menentang Kuala Lumpur (KL) FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Walaupun memenangi Piala SMJ selepas menewaskan KL City 1-0 pada perlawanan akhir malam tadi, Kim Swee melihat ada kelemahan dari segi kombinasi pemain Sabah FC yang perlu ditangani segera bagi menambah baik penampilan pasukan selepas ini.
"Banyak perlawanan yang tidak mempunyai kombinasi begitu baik, tapi inilah tujuan kita mengadakan perlawanan jemputan untuk kita kenal pasti kelemahan.
"Kalau kita tidak mempunyai perlawanan persahabatan, kita tentu tidak akan tahu mengenai kelemahan kita. Jadi, saya harap kita dapat melakukan lebih baik daripada apa yang kita tunjukkan dalam empat perlawanan Piala SMJ," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... k-hadapi-liga-super |
|