|
KEADAAN Faisal Halim beberapa hari lalu selepas jalani pembedahan kedua Selasa lalu.
Shah Alam: Tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim sudah melalui tempoh kritikal namun pemain itu tidak boleh 'diganggu' bagi memastikan proses 'skin allograft' tidak berhadapan sebarang masalah.
Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata, ketika ini perkara penting adalah untuk melihat reaksi atau tindak balas tubuh pemain berkenaan terhadap proses terbabit sama ada menunjukkan tanda positif atau sebaliknya.
Beliau berkata, pemain berusia 26 tahun itu tidak boleh dikunjungi pelawat dan memerlukan pemantauan rapi sebelum doktor pakar melakukan pembedahan seterusnya.
"Susulan pembedahan selama tiga jam pada petang Khamis, tumpuan doktor kini beralih kepada fasa rekonstruktif, menggunakan allograft. Doktor memantau dengan teliti tindak balas badannya, mengutamakan pencegahan jangkitan dan memastikan pemakanan yang optimum.
"Walaupun kami tidak menjangkakan perkembangan ketara pada masa akan datang namun, keadaan Faisal, seperti yang dinyatakan oleh isterinya, Nur Syawani Mizuana Shahril, semakin positif. Dia semakin selesa, terbukti dengan berjalan tanpa bantuan ke tandas," katanya.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan Faisal yang juga tonggak Selangor FC (SFC menerima rawatan standard tertinggi apabila dirawat menggunakan 'skin allograft' yang dianggarkan bernilai RM30,000.
Cara berkenaan digunakan sekiranya pesakit tidak memiliki kulit yang cukup untuk digunakan bagi merawat dan menutup luka terbakar.
Sementara itu, Hazwan berkata, ketika ini tempoh lawatan membabitkan pemain terbabit dihadkan dengan hanya kakitangan perubatan atau doktor pakar saja dibenarkan untuk melihat pemain itu.
"Kami menasihatkan keluarganya untuk melindunginya daripada sebarang berita negatif kerana mahu dia kekal positif dan lebih menumpukan kepada proses rawatan itu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ganggu-faisal-halim |
|