|
Penyerang Sabah FC, Ramon Machado dan Saddil Ramdani mungkin tidak dapat diturunkan untuk aksi pertama Liga Super di Stadium Likas, esok. FOTO Sabah FC
Kota Kinabalu: Sabah FC berkemungkinan terpaksa mengharungi perlawanan pertama Liga Super menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas, petang esok tanpa dua tonggak utama pasukan.
Dua pemain terbabit, Ramon Machado dan Saddil Ramdani mungkin tidak dapat diturunkan kerana masih mengalami kecederaan selepas perlawanan pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ), minggu lalu.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata kedua-dua mereka belum pulih sepenuhnya, namun penilaian akhir akan dibuat sebelum sepak mula yang dijadual jam 5.45 petang esok.
"Masih ada tempoh 48 jam untuk melihat secara keseluruhan tahap kecergasan mereka sana ada dapat diturunkan atau sebaliknya.
"Kita tidak akan mengambil risiko berikutan perjalanan Liga Super baru bermula dan dalam masa sama Sabah FC sedang mencorak taktikal lain untuk mengisi kekosongan sekiranya kedua-dua mereka tidak dapat diturunkan petang esok," katanya.
Selain itu, katanya seorang lagi pemain, S Kumaahran juga berada dalam senarai kecederaan manakala penjaga gol, Damien Lim tidak dapat beraksi selama enam hingga lapan minggu berikutan kecederaan ketika perlawanan Piala SMJ sebelum ini.
Mengulas lanjut persiapan Sabah menentang Pulau Pinang, Kim Swee menyifatkan ia bukan perlawanan mudah memandangkan pasukan lawan mempunyai jurulatih baharu dan beberapa pemain yang sangat berkualiti.
"Penang FC juga bersiap sedia dengan banyak menghadapi perlawanan persahabatan pramusim termasuk tiba dua hari lebih awal ke Kota Kinabalu.
"Ini menunjukkan Penang FC sangat serius dalam menghadapi saingan musim 2024/2025," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -machado-dan-saddil |
|