CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5315|Reply: 0

[Perlis] Kerajaan pertimbang laksana semula zon aliran bebas Wang Kelian

[Copy link]
Post time 14-5-2024 08:58 PM | Show all posts |Read mode
Kerajaan pertimbang laksana semula zon aliran bebas Wang Kelian


Oleh Aizat Sharif - Mei 14, 2024 @ 8:42pm [email protected]




Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bergambar bersama polis, Jabatan Imigresen, Kastam dan lain agensi di Pos Imigresen Wang Kelian di Padang Besar. - Foto NSTP/Aizat Sharif





PADANG BESAR: Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian yang dimansuhkan sejak 2015.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kerajaan Persekutuan sudah menyatakan komitmen menerusi kelulusan peruntukan RM30 juta.

"Antara perancangan bagi pelaksanaan ini adalah membabitkan pembangunan semula di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian yang pada waktu ini dikenali sebagai Pos Imigresen Wang Kelian.

"Komponen bagi pembangunan semula Kompleks ICQS Wang Kelian ini bakal menempatkan semua agensi keselamatan utama yang akan bergabung di bawah Malaysia Checkpoints and Border Agency (MCBA).

"Komponen lain pula termasuk laluan empat lorong membabitkan 'inbound' dan empat lorong 'outbound' (laluan keluar dan masuk) berbanding hanya satu lorong ketika ini," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pos Imigresen Wang Kelian, hari ini.

Katanya, dalam hal berkenaan juga, aspek keluar masuk orang ramai juga akan diperketatkan bagi memastikan elemen keselamatan dapat ditingkatkan tanpa sebarang kompromi.

"Dulu orang ramai yang menggunakan laluan zon aliran bebas ini hanya perlu menunjukkan kad pengenalan tanpa dokumentasi ketat dan itu yang kita akan memperketatkan selepas ini.

"Berdasarkan data diterima, kehadiran masuk warga Thailand ke negara ini sewaktu operasi zon aliran bebas sebelum ini juga sememangnya melebihi daripada kehadiran rakyat kita ke Thailand," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menyembah maklum mengenai cadangan itu kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"Baginda menyambut baik perkara ini serta menitahkan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negeri dapat membuat penyelarasan serta memudah cara bagi pelaksanaan berkenaan.

"Apabila Kompleks ICQS Wang Kelian ini siap ini, perkara yang kita utamakan adalah untuk tingkatkan sistem penyampaian di samping memudahkan aspek ekonomi dan perdagangan.

"Pada masa sama, komponen yang bakal dibangunkan ini juga akan turut membabitkan pembangunan kawasan Arked Niaga Wang Kelian dengan dibangunkan semula kawasan gerai di sana," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata kerajaan negeri menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan itu yang dilihat mampu menjadi pemangkin kepada ekonomi Perlis.

Katanya, pelaksanaan itu sememangnya amat dinantikan sekian lama oleh penduduk negeri ini khususnya di kawasan berkenaan.

Zon aliran bebas Wang Kelian mula ditutup pada 1 April 2015 sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan kawalan sempadan bagi menyekat ancaman dan mengekang penyeludupan barangan terlarang.

Kawasan itu juga pernah digemparkan dengan kejadian pemerdagangan manusia membabitkan pendatang asing tanpa izin etnik Rohingya dari Myanmar.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-9-2024 07:03 PM GMT+8 , Processed in 0.068393 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list