CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 23377|Reply: 0

[Kedah] Dzulkefly arah doktor pelatih ditempatkan semula di hospital memerlukan

[Copy link]
Post time 17-5-2024 12:40 AM | Show all posts |Read mode
Dzulkefly arah doktor pelatih ditempatkan semula di hospital memerlukan


BERNAMA



DZULKEFLY, gambar fail. FOTO NSTP



Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan supaya menempatkan semula doktor pelatih (HO) di hospital daerah yang memerlukan dengan kadar segera.

Menerusi hantaran di laman X hari ini, beliau berkata, segala langkah penambahbaikan jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Saya amat sedar dan insaf dengan keluhan petugas saban hari dan minggu. Dengan 147 hospital KKM dan lebih 3,000 klinik kesihatan di seluruh negara, pasti banyak aduan akan saya terima.

"Teruskan menghantar maklum balas dan kritikan (hanya elakkan kata-kata yang mengundang dosa). Saya akan terus ambil perhatian dan bertindak, sementara meneruskan pelbagai pembaharuan saya," katanya.

Dzulkefly mengulas isu tular di laman sosial berkaitan hantaran gambar keluhan petugas perubatan yang ditulis di papan putih dipercayai berlaku di sebuah hospital di Kedah yang memohon maaf kepada pesakit kerana perlu menunggu lama untuk berjumpa doktor.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah (Kesihatan Awam) Dr Norizan Ahmad dalam kenyataan malam ini memaklumkan isu kekurangan sumber manusia akan ditangani sebaik mungkin supaya penyampaian perkhidmatan sedia ada tidak terjejas.

Beliau berkata, pembahagian sumber manusia di peringkat KKM dalam kategori pakar dan Pegawai Perubatan di seluruh hospital KKM adalah selari dengan beban tugas semasa manakala penempatan Pegawai Perubatan di sesebuah hospital pula ditentukan oleh Pengarah Hospital mengikut justifikasi dan keperluan semasa.

Dr Norizan juga berkata, perkhidmatan Klinik-klinik Pakar di Hospital Berpakar adalah melalui sistem janji temu secara berperingkat dan berjadual bagi mengelakkan isu masa menunggu yang panjang.

"Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengambil maklum akan isu tular di media sosial berkaitan satu notis yang dipaparkan di Klinik Pakar Pembedahan di sebuah Hospital Berpakar di Negeri Kedah.

"Untuk makluman semua, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sentiasa komited dan prihatin dengan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang bermutu kepada pelanggan tanpa menjejaskan kebajikan anggota bertugas.

"Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sentiasa terbuka untuk sebarang cadangan dan pandangan melalui saluran yang betul demi meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada pelanggan," katanya.



Disiarkan pada: Mei 17, 2024 @ 12:27am






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-6-2024 09:46 AM GMT+8 , Processed in 0.062070 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list