View: 1476|Reply: 0
|
Honda City Hatchback 2024 dilancar di M’sia
[Copy link]
|
|
Honda Malaysia telah pun melancarkan barisan City Hatchback facelift baharu di pasaran tempatan, selepas tempahannya dibuka sejak 22 April lalu. Untuk barisan baharu model SUV segmen-B ini, ia menawarkan lima varian iaitu paling asas adalah S berharga RM85,900, diikuti E (RM90,900), V (RM95,900), varian baharu RS (RM100,900) dan e:HEV RS pula ditawarkan pada harga RM112,900. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.
Bagi varian tanpa hibrid, ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.
Manakala bagi varian e:HEV RS, ia dilengkapi dengan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama, dengan roda hadapannya dipacukan oleh motor elektrik berkuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 253 Nm.
Motor elektrik itu dikuasakan oleh bateri lithium-ion yang dicas oleh motor elektrik kedua yang disambungkan ke enjin 1.5 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder Atkinson yang mampu menghamburkan kuasa hingga 98 PS (80 kW) pada 5,600 hingga 6,400 rpm dan tork cecah 127 Nm pada 4,500 hingga 5,000 rpm. Pacuan kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transimisi satu-kelajuan (digelar E-CVT).
Semua varian tanpa hibrid boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam 10.7 saat, manakala varian e:HEV RS pula dengan 9.7 saat. Manakala kelajuan tertinggi yang boleh dicapai oleh varian S dan E ialah 195 km/j, tetapi untuk V pula hanya 194 km/j dan 193 km/j untuk RS. Bagi e:HEV RS, kelajuan tertingginya sekitar 177 km/j sahaja.
Bagi penggunaan bahan api pula, kesemua varian tanpa hibrid dianggarkan menggunakan sekitar 5.6 liter untuk setiap 100 km, berbanding e:HEV RS yang pasti lebih menjimatkan dengan 3.7 liter bagi setiap 100 km.
Barisan City Hatchback 2024 ini juga masih mengekalkan sistem suspensi dengan topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan palang torsion di belakang. Manakala Sistem breknya pula menggunakan cakera Ventilated di hadapan. Untuk bahagian belakang pula, dram digunakan untuk dua varian paling rendah dan tiga varian tertinggi diberikan cakera solid.
Tiada perubahan dimensi untuk City Hatchback 2024, masih mengekalkan ukuran yang sama iaitu 4,350 mm panjang (dua varian RS dengan 4,369 mm), 1,748 mm lebar, 1,488 mm tinggi dan jarak roda pula 2,600 mm. Manakala ruang but juga kekal dengan kapasiti 289 liter dengan kedudukan tempat duduk normal.
Untuk penggayaan luarannya, ia diberikan sentuhan yang lebih segar di mana rekaannya berbeza berbanding City sedan yang menerima kemaskini pada Ogos lalu. Untuk varian RS dan e:HEV RS, ia menampilkan rekaan yang lebih dinamik dan sporty termasuk palang hitam yang lebih nipis pada sudut atas gril. Selain itu, bampar baharunya kini didatangkan dengan kemasan lampu kabus LED yang lebih tajam mengapit jejaring honeycomb pada corong intake dengan tambahan saluran udara.
Lampu utama automatik dengan unit halogen projektor diberikan untuk varian S dan E, manakala tiga varian tertinggi ditampilkan dengan unit LED. Varian RS turut menerima kemasan pada ambang sisi. Di bahagian belakang, lampu kombinasi LED baharu dan bampar dengan hiasan di bawah diberikan untuk kesemua varian. Ciri luaran lain untuk kesemua varian termasuk lampu nyalaan siang (DRL) LED, dan juga antena shark fin.
Untuk dua varian paling rendah, ia diberikan rim aloi 15-inci yang dibaluti dengan tayar 185/60R 15 dengan kemasan Sparkle Silver untuk S dan Shark Gray bagi E. Manakala untuk tiga varian teratas menerima rim aloi 16-inci dengan tayar 185/55R 16 dengan kemasan Sparkle Silver untuk V dan dua varian RS menerima gaya yang lebih agresif dengan Berlina Black yang juga antara ciri baharu untuk City Hatchback ini.
Menjengah bahagian kabinnya, tidak banyak perubahan yang dilakukan, sama juga dengan City Sedan. Ada sedikit sahaja bahagian yang berubah iaitu soket pengecas yang ditukar kepada unit USB-C (e:HEV sahaja), dan terdapat poket kecil di bahagian belakang tempat duduk hadapan (e:HEV sahaja). Manakala dua varian RS diberikan kemasan merah termasuk pada tempat duduk.
Ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah walk away auto lock, kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, butang ECON, pedal penukar gear (varian e:HEV RS dengan Decelaration Selector Paddle), meter kluster TFT 4.2-inci (tujuh-inci untuk RS dan e:HEV RS) dan pendingin hawa tunggal automatik (larasan manual untuk S). Ia juga diberikan suis kawalan audio untuk roda stereng, konsol tengah dengan perehat tangan, serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto (wireless untuk dua varian RS).
Hanya varian S sahaja tidak menerima ciri tambahan Remote Engine Start dan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang. Selain itu, roda stereng, tombol gear dan tempat duduk empat varian tertinggi dibaluti material kulit.
Untuk sistem bantuan pemandu, semua varian bagi City Hatchback facelift ini didatangkan dengan kelengkapan Honda Sensing secara standard, termasuk dengan ciri baharu iaitu notifikasi ketibaan kenderaan hadapan. Ciri berkenaan menyertai fungsi sedia ada termasuk brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan di hadapan, amaran pelanggaran hadapan, sistem brek mitigasi pelanggaran, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, amaran ketibaan lorong dan lampu tinggi automatik. Varian e:HEV RS juga menerima ciri tambahan low-speed follow untuk fungsi kawalan kelajuan adaptif.
Ciri standard lain termasuk enam beg udara, bantuan kestabilan kenderaan, ABS, EBD, penahan brek auto, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, ISOFIX jenis I-Size, dua penderia undur dan penderia kamera pelbagai-sudut. Varian V, RS dan e:HEV RS menerima ciri tambahan yang lebih padu iaitu Honda LaneWatch Camera dan dua varian tertinggi juga diberikan Honda Connect.
Penawaran warna luarannya juga dikekalkan iaitu Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl dan Meteroid Gray Metallic untuk kesemua varian tetapi ada pertambahan satu lagi warna untuk varian bukan-hibrid iaitu Lunar Silver Metallic.
Klik untuk besarkan imej spesifikasi penuh ini
Honda Malaysia turut menawarkan pakej Modulo untuk City Hatchback 2024. Pakej Modulo penuh yang ditawarkan untuk semua varian termasuk kemasan bagi spoiler bawah untuk hadapan dan belakang, spoiler sisi dan tailgate, paip ekzos, fender hadapan, lencana rona hitam dan pedal sport. Manakala pakej Urban untuk semua varian yang merangkumi rear panel lining cover, foot light, pemijak tepi iluminasi dan visor pintu.
Seperti yang telah diumumkan, harga atas jalan tanpa insurans bagi S ialah RM85,900, diikuti E (RM90,900), V (RM95,900), RS (RM100,900) dan e:HEV RS pula ditawarkan pada harga RM112,900. Kesemuanya didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dan kos buruh percuma (terhad untuk lima kali servis dalam tempoh 100,000 km atau lima-tahun). Varian hibrid juga diberikan waranti lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk baterinya.
https://paultan.org/2024/05/16/h ... tandard-dari-rm86k/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|