Nibong Tebal: Calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap memaklumkan sudah memberi penjelasan berhubung kesahihan sijil Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian (ISO 14001) yang dimilikinya sebelum ini.
Berikutan itu, Abidin, 56, berkata dia tidak kisah apabila pihak lawan menggunakan isu sijil terbabit sebagai modal politik dalam kempen pilihan raya yang berlangsung dalam tempoh tidak kurang dua minggu.
"Isu itu (kesahihan memiliki sijil ISO) tak ada apa... semua orang tahu hal itu, tak ada masalah (penjelasan sudah dibuat).
"Kalau dia orang (pihak lawan) nak (mahu) buat modal (kempen) pun saya tak kisah," katanya ringkas kepada pemberita pada Ceramah Kelompok PN di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Duri di sini, malam tadi.
Terdahulu, Abidin yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal dilaporkan membuat penjelasan terbuka mengenai kesahihan sijil ISO yang dimilikinya.
Menurut Abidin, dia tidak menafikan ada sedikit kesilapan berhubung perkara itu semasa latar belakangnya diumumkan oleh pemimpin Pas ketika majlis pengumuman calon pada 15 Jun lalu.
"Sebenarnya sijil ISO bukan untuk individu, tetapi mana-mana syarikat atau badan-badan berkanun pun perlu ada ISO, piawaian pelanggan itu perlu ada ISO," katanya.
Dalam pada itu itu, Abidin turut menafikan bahawa dia menerima arahan untuk mengelak bertemu dengan pihak media.
Ini selepas pihak media yang ingin membuat liputan calon yang bertanding menghadapi kesukaran untuk bertemunya walaupun jadual kempen dikongsikan menerusi Kumpulan WhatsApp.
Abidin memberitahu dia agak sibuk memandangkan jadual kempen padat yang diaturkan bagi membolehkannya bertemu dengan seberapa banyak pengundi sebelum menjelang hari mengundi pada 6 Julai ini.
"Tak elak (media), bukan ada masalah (arahan) dan memang saya pun (ada) kerja banyak, dengan ceramah dan pergi sana sini (menyantuni pengundi)
"Kadang-kadang letih juga, saya minta maaf (dengan media) dan (di sini) memang tak ada isu untuk saya nak elak media," katanya.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PN Abidin dengan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin,60.
Kawasan Sungai Bakap diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.