SUNGAI PETANI: Berpantang maut sebelum ajal - itu nasib suami isteri selepas terselamat walaupun kereta dinaiki mereka rentung semalam.
Kejadian berlaku di Jalan Ambangan Height di Taman SP Saujana, di sini dengan pasangan berusia lingkungan 40-an itu sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kereta jenis Peugeot dinaiki mula terbakar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan 999 berhubung kebakaran itu pada jam 6.15 petang, sebelum dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) tiba di lokasi untuk membantu.
"Pasangan suami isteri itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya menyelamatkan diri.
"Kereta mereka dilaporkan musnah 100 peratus dan sepasukan anggota bomba membantu memadam kebakaran," katanya melalui kenyataan.