Kepala Batas: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengambil sampel tanah, rumput, daging terbuang dan air dari sungai berhampiran kawasan perumahan di Tanjong Bungah dekat sini untuk mengenal pasti punca kematian 27 anjing liar.
Pengarahnya Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengetahui punca sebenar kematian anjing berkenaan yang dipercayai diracun.
"Pihak kami perlu menunggu hasil analisis Jabatan Kimia bagi mengetahui punca sebenar dan ini mungkin mengambil masa yang lama, setakat ini sukar untuk menentukan apa penyebab keracunan sama ada disengajakan atau haiwan itu memakan racun perosak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Kebajikan Haiwan Tahun 2024 di Kampung Agong, Penaga di sini yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol.
Sebelum ini, media melaporkan seekor anjing baka Husky dan lebih 20 ekor anjing liar lain ditemukan mati di kawasan perumahan di Tanjung Bungah, awal bulan ini.