Kangar: Seorang penolong akauntan di Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 13 pertuduhan pecah amanah wang milik kerajaan negeri Perlis berjumlah RM81,585.04 dari Jun 2018 hingga September 2019.
Tertuduh, Mohd Reimi Ismail, 45, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama sehingga ke-13, tertuduh didapati menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah keseluruhan RM81,585.04 kepunyaan kerajaan negeri Perlis di pelbagai bank iaitu CIMB, Maybank dan Bank Simpanan Nasional di daerah Kangar.
Tertuduh didapati melakukan 13 kesalahan itu bermula pada 29 Jun 2018 sehingga 5 September 2019.
Oleh hal demikian, tertuduh didapati melakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak lebih daripada lima tahun dengan sebatan serta denda.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.
Pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 ke atas tertuduh memandang kesalahan yang dilakukan adalah sangat serius selain menyerahkan semula pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Perlis pada setiap bulan.
Peguam tertuduh bagaimanapun meminta jaminan minimum mengambil kira anak guamnya mempunyai enam tanggungan iaitu bapanya yang uzur berusia 71 tahun, isteri serta anak yang berusia antara lima hingga 18 tahun.
Hakim kemudian menetapkan jaminan RM30,000 manakala 27 Ogos hadapan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh kemudian membayar wang jaminan berkenaan.