Georgetown: Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) di sini, akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada acara Penang Fellowship Ride Bridge to Bridge 2024 pada Ahad ini.
Jambatan Pulau Pinang akan ditutup bermula jam 6.30 pagi hingga 9 pagi dari sebelah pulau, manakala penutupan JSAHMS atau Jambatan Kedua Pulau Pinang dari Batu Kawan ke Batu Maung akan bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen, berkata beberapa jalan terbabit juga akan ditutup secara berperingkat bagi menjayakan program kayuhan itu yang akan bermula dan berakhir di Tapak Pesta Sungai Nibong.
"Acara kayuhan itu akan melalui Jambatan Pulau Pinang, Jalan Perindustrian Juru, Batu Kawan sebelum berpatah balik ke Tapak Pesta melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Lebuhraya Tun Dr Lum Chong Eu.
"Seramai 2,343 peserta mendaftar untuk menyertai acara kayuhan sejauh 68 kilometer tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai makluman, peserta akan dilepaskan pada jam 7 pagi di Tapak Pesta Sungai Nibong dan mereka kemudiannya akan menyeberangi Jambatan Pulau Pinang dari pulau ke tanah besar sebelum melakukan kayuhan pulang dari Batu Kawan ke Batu Maung melalui JSAHMS.