Fatimah (tiga kiri) menerima cenderamata daripada pempamer pada AFFIN BizChat di Kuching, hari ini. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan kerjasama dengan Kumpulan AFFIN dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kerajaan negeri menyasarkan indeks kesejahteraan sosial bagi negeri ini meningkat pada 2026.
Justeru, beliau percaya dengan adanya kerjasama pelbagai pihak seperti AFFIN, kesejahteraan rakyat di negeri ini dapat ditingkatkan meliputi pelbagai bidang.
"Selepas kerajaan Sarawak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Affin Bank baru-baru ini, orang akan lebih tahu mengenai Affin Bank.
"Jadi, kita berharap banyak lagi kerjasama dapat dijalankan antara AFFIN dengan kementerian kami, dewan usahawan, secara kolaboratif, rakan stategik mahupun tanggungjawab sosial korporat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan program Affin BizChat yang diadakan buat julung kalinya di sini oleh Kumpulan AFFIN, hari ini.
Terdahulu dalam ucapan penutupannya, Fatimah berkata AFFIN mempunyai keupayaan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak terutamanya yang terlibat sebagai vendor dalam ekonomi hijau yang semakin berkembang.
Fatimah (tiga kanan) melihat produk yang dipamerkan pada AFFIN BizChat di Kuching, hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Selain itu katanya, pelancaran Skim Pembiayaan AFFINGEM untuk usahawan wanita baru-baru ini adalah bukti dedikasi AFFIN terhadap keterangkuman dan pemerkasaan.
Fatimah turut menyambut baik MoU yang ditandatangani antara AFFIN dengan tiga pemain industri utama di Sarawak iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC), Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Kuching dan Chemsain Sustainability Sendirian Berhad pada AFFIN BizChat, hari ini.
Perkongsian tersebut katanya, menyerlahkan komitmen AFFIN yang tidak berbelah bahagi untuk memperkasakan perniagaan di Sarawak.
Dengan memanfaatkan penyelesaian digital katanya, AFFIN menyediakan rangkaian perkhidmatan yang komprehensif untuk memenuhi kedua-dua keperluan kewangan dan bukan kewangan PKS.
Sementara itu, AFFIN BizChat merupakan program sulung Kumpulan AFFIN di Sarawak bertujuan untuk menyokong perjalanan keusahawanan dengan menyediakan platform untuk perniagaan meneroka arah aliran pasaran terkini.
Antara pengisian program itu ialah sesi pembentangan bertajuk 'How to Simplify Your Work with Generative AI Tools' oleh Pakar Pembelajaran AI dan Mesin, Universiti Taylor Shee Tze Jin.
Ia diikuti dengan forum perniagaan bersama tiga penceramah jemputan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Accio Technologies Dr Lau Cher Han, Pengasas Syuen Zens Resources Sharon Goh dan Penasihat Teknologi Chemsain Sustainability Henry Tan.
Hadir sama Pengerusi AFFIN Islamic Bank Berhad Musa Abdul Malek, CEO AFFIN Islamic Bank Berhad Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin, CEO SDEC Is Ts Sudarnoto Osman, Pengerusi DUBS Cawangan Kuching Kr Drahman Jaladin dan Pengerusi Eksekutif Chemsain Sustainability Sendirian Berhad Dr John Chan Sung Tong.
|