KULIM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengarahkan projek kuari di lot PT 686 kompartmen 28 di Gunung Bongsu yang didakwa penduduk mengancam keselamatan dihentikan.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya memberi arahan menghentikan kerja-kerja pembukaan tapak bagi tujuan terbabit selepas kajian laporan impak alam sekitar (EIA) pada 2017 tamat tempoh pada 2019.
Beliau berkata JAS sentiasa melakukan pemantauan berkala di lokasi itu termasuk menjalankan pemantauan sekali lagi semalam bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak media bagi melihat situasi sebenar di lot berkenaan.
"Pemantauan hari ini (semalam) berikutan terdapat dakwaan berlaku kerja-kerja yang dikhuatiri mengakibatkan pencemaran alam sekitar seperti hakisan. Kita dapati tiada sebarang jentera dan kerja-kerja di lakukan, hanya ada bekas jalan yang dibuka.
"JAS turut membuat verifikasi ke atas pematuhan Notis Arahan di bawah Seksyen 31, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikeluarkan oleh JAS yang mengkehendaki penggerak projek untuk berhenti kerja, kerana kelulusan EIA yang dikeluarkan pada 11 Disember 2017 telah tamat tempoh sah," katanya ketika ditemui selepas tinjauan di lot berkenaan semalam.
Sharifah berkata penggerak projek perlu mengemukakan laporan EIA baharu yang lebih komprehensif dan mengambil kira pandangan orang awam sekiranya masih berminat untuk menjalankan sebarang aktiviti di tapak.
Katanya, penduduk kampung tidak perlu bimbang mengenai projek terbabit dan diminta melaporkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dan JAS untuk melakukan siasatan sekiranya curiga berlaku sebarang aktiviti di kompartmen berkenaan.
Terdahulu kira-kira 500 penduduk Kampung Sungai Tengas Terap di kaki gunung berkenaan mendakwa aktiviti pembukaan jalan bagi projek kuari batu di gunung berkenaan kembali dijalankan April lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.
Penduduk mendakwa projek itu sudah beberapa kali ditangguhkan sejak ia diluluskan pada 2009.
Menurut penduduk yang mahu dikenali sebagai Jaafar, 43, pihaknya sudah beberapa kali membuat bantahan dan aduan mengenai projek itu kerana kampung terbabit paling dekat dengan projek kuari berkenaan iaitu kira-kira empat kilometer.
"Kami bimbang apabila berlaku letupan, batu akan terpelanting ke kawasan penduduk akhirnya ada penduduk yang akan cedera dan mungkin nyawa pun boleh melayang.
"Selain itu, kita bimbang berlaku hakisan jalan dan apabila musim hujan akan berlaku banjir puing seperti di Baling, bukan penduduk kampung ini sahaja akan terkesan, beberapa penduduk kampung lain termasuk di Bandar Baharu hingga Selama, Perak juga akan terkesan," katanya.
Jaafar berkata beberapa bantahan sudah dilakukan kepada kerajaan negeri dan agensi kerajaan sehingga projek itu mendapat kelulusan EIA pada 2017.
"Pada 2018, kerja-kerja penebangan pokok dilakukan untuk pembukaan jalan dilakukan, kita lakukan bantahan sehinggalah mereka berhenti pada 2019.
"Namun baru-baru ini pada April, terdapat jentera naik dan melakukan kerja-kerja di kompartmen berkenaan, kita sekali lagi buat aduan kepada JAS dan JPNK," katanya.
Seorang lagi penduduk, Md Nasir Ali, 48, berkata penduduk kampung berkenaan sangat berharap projek itu tidak diteruskan kerana ia dibimbangi akan menyebabkan bekalan air tandak penduduk akan terjejas.
Katanya, majoriti penduduk kampung berkenaan bergantung kepada bekalan air dari gunung berkenaan sejak sekian lama selepas tekanan air Syarikat Air Darul Aman (SADA) sangat rendah.
"Kami sudah banyak kali buat aduan, kami harap ia tidak diteruskan sebab boleh menyebabkan kerosakan hutan yg cukup teruk," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan.
Che Hasri Che Din, 48, berkata pihaknya sudah membuat perjumpaan dengan pegawai JAS, JPNK dan Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebelum ini namun mendakwa aktiviti membuka jalan kembali dilakukan April lalu.
"Tengok baru-baru ini masuk balik, kita merayu projek ini dihentikan terus. Kami bimbang keselamatan penduduk akan terancam sekiranya ia dilaksanakan kelak," katanya.