Georgetown: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan Empangan Muda, Kedah akan turut memberi manfaat kepada Pulau Pinang meskipun permohonan supaya ia turut dijalankan di negeri itu belum mendapat maklum balas Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata jika Empangan Muda dapat diisi semula, air yang berlebihan dapat dilepaskan ke Sungai Muda yang membekalkan 85 peratus air kepada penduduk Pulau Pinang.
"Jika berlaku hujan, Empangan Muda dapat diisi semula dengan air hujan dan pihak mereka dapat melepaskan air ke Sungai Muda.
"Jadi Pulau Pinang akan mendapat manfaat sekiranya pembenihan awan di Empangan Muda berjaya," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.
Chow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan, Pulau Pinang menerusi Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri telah memohon sebanyak dua kali kepada Nadma untuk melaksanakan OPA di empangan kawasan pulau.
Beliau berkata, permohonan itu dikemukakan pada 19 Julai lalu diikuti sepucuk lagi surat selepas itu dan pihaknya mengakui berdepan cabaran mengisi dua empangan di bahagian pulau iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Air Itam yang amat memerlukan air hujan.
"Kita sudah memohon sebanyak dua kali, iaitu pada 19 Julai lalu dan satu lagi surat susulan selepas itu, namun masih tiada maklum balas lagi.
"Kita masih ada cabaran untuk mengisi dua empangan berkenaan jadi kita perlu mengatur permintaan dan penyaluran bekalan air kepada pengguna dengan sebaik-baiknya," katanya.
Rekod kapasiti efektif Empangan Air Itam hari ini berada pada paras 35.8 peratus manakala Empangan Teluk Bahang 29.6 peratus dengan Pulau Pinang masih mempunyai satu lagi empangan simpanan iaitu Empangan Mengkuang yang berada pada paras 86.8 peratus.
Chow berkata, berikutan itu pada masa ini PBAPP turut menggunakan air daripada Empangan Mengkuang selepas paras air Sungai Muda mencatatkan penurunan disebabkan musim kemarau yang masih berlanjutan.
"Selalunya paras air Empangan Mengkuang berada pada paras lebih 95 hingga 98 peratus tetapi apabila paras Sungai Muda turun dalam tempoh dua minggu ini kita perlu lepaskan air dari sana," katanya.