KEPALA BATAS: Dua wanita tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung video tular memaparkan insiden pergaduhan dipercayai kerana berebut petak letak kenderaan di sebuah pasar raya di sini.
Dua wanita berusia 25 dan 38 tahun itu ditahan semalam, selepas siasatan dijalankan terhadap kedua-duanya yang tampil membuat laporan polis pada Isnin dan Selasa lalu berhubung insiden terbabit.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya di Kepala Batas.
"Punca kejadian adalah disebabkan perasaan tidak berpuas hati dengan perebutan tempat parkir.
"Sebelum itu, kita menerima laporan yang dibuat kedua-dua wanita berkenaan pada 29 dan 30 Julai lalu berkenaan insiden pergaduhan terbabit,. Mereka kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam.
"Dalam pada itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian mewujudkan apa-apa komen dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya atau mengugut atau mengganggu orang lain.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau tampil ke balai polis bagi membantu siasatan," katanya.
Kelmarin tular satu rakaman video berdurasi 25 saat memaparkan dua wanita bergaduh serta mengeluarkan perkataan kesat dipercayai berpunca daripada berebut parkir di sebuah pasar raya.