Kulim: "Tolonglah… saya nak bawa anak ke hospital esok tapi tak ada duit. Bantulah saya kerana saya mahu anak sihat, itu saja."
Itu kata Mohammad Azhar Arzemi, 31, yang merayu sumbangan orang ramai untuk membawa anak istimewanya,
Nur Khaulah Al Azwar Mohammad Azhar, 5, ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk menjalani rawatan susulan akibat masalah tulang belakang bengkok.
Mohammad Azhar dari Batu 4, Sungai Ular di sini, berkata, dia enggan meminta-minta namun terpaksa kerana hanya bergantung dengan hasil jualan daging perap secara dalam talian yang tidak menentu.
"Esok pagi, saya kena bawa anak ke hospital kerana ada temujanji dengan doktor untuk rawatan susulannya.
"Masalahnya, saya tak ada duit dalam tangan dan ikutkan kereta pun rosak sampai pinjam dengan ayah.
"Runsing juga fikir bagaimana nak pergi esok kerana mahu atau tidak kena sediakan duit untuk isi minyak (petrol) kereta dan lain-lain jika berlaku kecemasan jadi harap sangat ada sudi membantu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut, Mohammad Azhar berkata, selain rawatan bagi tulang belakang bengkok, Nur Khaulah Al Azwar juga perlu menjalani pembedahan di kepala bagi menanam implan koklea.
Katanya, pembedahan itu disyorkan doktor sebagai alternatif bagi merawat Nur Khaulah Al Azwar yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal kerana menghidap 'golden har syndrome' atau kecacatan pada cuping telinga kanan.
"Penyakit itu dikesan sejak lahir dan kesannya, anak saya tak dapat mendengar kerana saluran gegendang (telinga) halus.
"Belum ada tarikh pembedahan, kemungkinan tahun depan bergantung kepada keadaan dan perkembangan kesihatannya kerana berisiko tinggi," katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun CIMB bernombor 7047468689 atas nama Mohammad Azhar Arzemi atau menghubunginya di talian 010-219 5301.