Desas-desus peletakan jawatan MB Perlis sekadar cubaan ganggu pentadbiran negeri
Oleh Aizat Sharif - Ogos 13, 2024 @ 12:38pm [email protected]
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli
KANGAR: Desas-desus peletakan jawatan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, selepas 20 bulan mengetuai pentadbiran, dilihat sebagai satu lagi cubaan pihak tertentu cuba menimbulkan persepsi tidak baik terhadap kepimpinan negeri itu.
Ketua Pemuda PAS Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, berkata tidak ada sebarang perubahan dari segi kepimpinan pentadbiran negeri berlaku pada waktu terdekat ini.
"Tiada khabar berita apa pun, tidak ada sebarang perubahan kepimpinan membabitkan Menteri Besar akan berlaku di negeri ini.
"Namun, apa yang saya nampak adalah khabar angin ini cuba ditimbulkan oleh pihak yang berkepentingan serta tidak bertanggungjawab menimbulkan persepsi dan khabar angin untuk tujuan tertentu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Nada sama dikongsi Ketua Penerangan Armada BERSATU Perlis yang juga Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri dan ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak, yang menyatakan bahawa jentera kerajaan masih beroperasi seperti biasa.
"Setakat ini, tiada apa-apa yang berlaku (peletakkan jawatan Menteri Besar), segala-galanya berjalan seperti biasa.
"Kita terus bekerja macam biasa di sini dan apa yang sedang berlaku itu hanyalah khabar angin sahaja," katanya.
Sebelum ini, wujud desas desus termasuk laporan sebuah portal berita yang menyatakan bahawa bakal berlaku perubahan dari segi kepimpinan Menteri Besar di mana Mohd Shukri didakwa akan meletakkan jawatannya menjelang Ogos dan September.
Namun, Mohd Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis merangkap Pesuruhjaya PAS negeri yang ditemui sebelum ini menafikan khabar angin berkenaan selain tidak mengetahui mengenai kewujudan desas desus itu.
Mohd Shukri yang menjadi ADUN Sanglang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013 dilantik menjadi Menteri Besar Perlis selepas PN menang 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis pada PRU ke-15 lalu yang sekaligus menamatkan penguasaan kerajaan Barisan Nasional selama 65 tahun di negeri itu.
Namun, sepanjang pentadbirannya, Mohd Shukri berdepan dengan pelbagai desakan termasuk daripada Timbalan Pengerusi PN Negeri, Abu Bakar Hamzah, yang juga Ketua Badan Pimpinan (BPN) BERSATU Perlis yang mahukannya meletakkan jawatan selepas ADUN Kuala Perlis itu tidak dilantik menjadi EXCO.
Malah pada Mei lalu juga, anak kepada Mohd Shukri iaitu Mohd Syafeeq dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar ats pertuduhan membuat tuntutan palsu sehingga RM19,000 berhubung pembekalan air mineral kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, yang dikatakan mencetus kemurkaan baginda.
Selain itu, Mohd Shukri turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu kerana didakwa menyalahgunakan kuasa tetapi sehingga kini tiada sebarang pendakwaan oleh pihak berkuasa.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1284193/desas-desus-peletakan-jawatan-mb-perlis-sekadar-cubaan-ganggu
|