CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5952|Reply: 0

[Perlis] Anggota polis cedera cuba kejar suspek bawa dadah

[Copy link]
Post time 13-8-2024 03:19 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 13-8-2024 03:21 PM

Anggota polis cedera cuba kejar suspek bawa dadah

OlehSYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

13 Ogos 2024 02:36pm




Beg yang dibuang suspek bersama tiga ketulan mampat ganja dianggarkan seberat tiga kilogram. Gambar kanan: Lokasi suspek membuang beg galas ketika cuba melarikan diri dari polis.




PADANG BESAR - Seorang anggota polis dari Cawangan Risik Batalion 1 Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Perak cedera ketika cuba mengejar dua suspek yang membawa bekalan dadah dalam kejadian di kawasan ladang Chuping pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam itu anggota berkenaan mengalami kecederaan di bahagian muka, lutut dan siku selepas terbabas daripada motosikal.



Katanya, ketika kejadian, mangsa bersama seorang lagi anggota membuat risikan di kawasan terbabit menggunakan motosikal sebelum terserempak dengan sebuah motosikal yang dibonceng dua individu dalam keadaan mencurigakan.

"Setelah menyedari anggota polis bertugas mengejar mereka, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.


Menurutnya, dalam masa yang sama salah seorang suspek membuang sesuatu ke dalam semak berhampiran.

"Ketika itu juga anggota polis bertugas hilang kawalan lalu terbabas dari motosikal manakala suspek melarikan diri," ujarnya.


Mohd Shokri berkata, hasil pemeriksaan terhadap barang yang dibuang suspek mendapati ia adalah beg galas berwarna hitam merah yang mengandungi ketulan mampat ganja anggaran berat tiga kilogram.

"Siasatan awal mendapati ganja bernilai RM9,300 tersebut dibawa masuk ke Malaysia menggunakan laluan tikus di Sempadan Malaysia-Thailand di sini. Jika terlepas ke pasaran ia boleh digunakan oleh 3,000 penagih dadah.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup. Jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan," katanya.

Juruteknik, sepupu ditahan bersama 52.6kg ganja

Sementara itu di GEORGE TOWN, Pulau Pinang, seorang juruteknik pendawaian elektrik dan sepupunya ditahan bersama 52.596 kilogram (kg) ganja bernilai RM163,047 dalam serbuan di tempat meletak kereta di kawasan perumahan di Jalan Perak, Khamis lalu.

]
Razlam (dua dari kiri) menunjukkan dadah ganja yang dirampas daripada kedua-dua suspek.




Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan bersama sepupunya yang berusia 18 tahun ketika memasukkan kotak berisi dadah jenis ganja ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

Menurutnya, serbuan pada jam 8.38 malam itu dibuat oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

"Hasil risikan, kita berjaya menahan dua lelaki tempatan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sejak Mac lalu.

"Ketika tangkapan, kita merampas sebuah kotak berwarna coklat mengandungi 20 ketulan mampat daun kering yang dibalut plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja, dengan anggaran berat 21.1kg bernilai RM65,227," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Selasa.

Razlam menambah, pemeriksaan pada pacuan empat roda tersebut turut menjumpai dua buah kotak berwarna coklat mengandungi 30 ketulan mampat disyaki ganja seberat seberat 31.56kg bernilai RM97,820.

"Dadah ini untuk pasaran tempatan dan suspek memperoleh bekalan dadah ini dari negara jiran yang dibawa melalui jalan darat.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 105,192 penagih jika ia terlepas ke pasaran. Polis turut merampas wang tunai bernilai RM2,300," katanya.

Jelas Razlam, siasatan mendapati, kedua-dua suspek bergerak berdua namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kedua-dua suspek bekerja dengan sebuah syarikat yang mana, suspek kedua berusia 18 tahun itu merupakan pembantu kepada suspek pertama. Ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama negatif manakala suspek kedua positif ganja.

Suspek kedua juga mempunyai dua rekod lampau melibatkan dadah manakala suspek pertama tiada rekod lampau. Kedua-dua suspek direman seminggu sehingga 15 Ogos ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

https://www.sinarharian.com.my/article/679996/berita/semasa/anggota-polis-cedera-cuba-kejar-suspek-bawa-dadah


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-11-2024 10:56 PM GMT+8 , Processed in 0.832624 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list