Kangar: Lebih 100 kes pengabaian nafkah terhadap isteri dan anak termasuk tunggakan nafkah berjumlah RM43,000 direkodkan berlaku di negeri ini setiap tahun.
Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, Jaidi Ahmad berkata, antara punca permasalahan itu disebabkan berlaku halangan kepada hak bapa untuk melawat anak oleh bekas isteri, selain faktor ekonomi.
"Pengabaian nafkah ini berlaku akibat tindak balas lelaki berkenaan kepada bekas isterinya yang tidak membenarkan sebarang lawatan kepada anak.
"Apabila dihalang menyebabkan bekas suami juga tidak mahu menyumbang nafkah yang perlu diberikan kepada bekas isteri dan anaknya meskipun mereka sudah berpisah.
"Justeru, saya menasihatkan bekas isteri dan bekas suami kerana masing-masing ada tanggungjawab terutama kepada suami dalam menyediakan nafkah kepada bekas isteri dan anaknya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan perasmian Seminar Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah (Nafkah) Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, di sini, hari ini.
Menurutnya, sekiranya pertikaian berlarutan maka pihaknya akan memanggil kedua-dua pihak iaitu lelaki dan bekas isterinya ke BSK untuk berunding.
"Pengabaian nafkah oleh bekas suami tidak akan selesai kerana lambat laun tunggakan berkenaan menjadi bebanan hutang yang harus dibayar oleh lelaki kepada bekas isteri dan anaknya.
"Alhamdulillah, ada sesetengah kes dapat kita selesaikan dan dalam rekod kita, purata lebih 100 kes pengabaian nafkah berlaku setiap tahun.
"Malah, kes terbaru direkodkan membabitkan tuntutan sehingga RM43,000 bagi tiga jenis tuntutan nafkah yang tidak dilaksanakan oleh bekas suami selama enam tahun," katanya.