Langkawi: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM225,000 bagi bantuan peralatan menangkap ikan di bawah Program Peningkatan Penangkapan Ikan (Touch Point) di negeri ini.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, bantuan disampaikan itu termasuklah tong ikan berinsulasi, pukat hanyut, pukat udang, enjin sangkut 40 kuasa kuda dan kotak makanan.
"Ia sebahagian peruntukan RM3 juta diperoleh di bawah Belanjawan 2024 yang disalurkan menerusi lima Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di negeri ini iaitu Kuala Kedah, Yan, Tanjung Dawai, Kuala Muda dan Langkawi.
"(Bantuan) diberikan kepada nelayan yang sentiasa turun ke laut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan di Kompleks LKIM Kampung Penarak di sini, hari ini.
Muhammad Faiz berkata, bantuan juga bertujuan untuk meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan golongan B40 ke arah meninggikan taraf dan kualiti hidup mereka, selain melonjak produktiviti sektor perikanan.
Katanya, seramai 22 nelayan menerima bantuan peralatan menangkap ikan termasuk enjin bot dan sampan gentian kaca dengan nilai maksimum RM15,000 setiap penerima.
"Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA) Bestuba pula diberikan sejumlah RM35,000 bagi membina tempat memproses hasil laut di bawah Program Pembangunan Sosial dan Ekonomi Nelayan dan Keluarga Nelayan," katanya.