Sungai Petani: Seorang pekerja cuci kereta maut manakala seorang pengawal keselamatan cedera parah dengan kesan kecederaan dipercayai ditetak di kepala dan badan di lokasi berasingan di kawasan Bedong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, anggotanya dari pondok polis Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menerima panggilan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan di Zon Merah pada jam 2.20 pagi memaklumkan menerima kes dua lelaki yang mempunyai kesan kecederaan akibat ditetak.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, berlaku dua kejadian iaitu bermula di sebuah tapak kosong di simpang ke Kampung Toh Pawang, apabila mangsa pertama iaitu pengawal keselamatan yang ketika itu sedang bekerja dan ditemani seorang rakan dipercayai diserang lima lelaki bersenjatakan parang menyerang mangsa.
"Akibat daripada itu, mangsa mengalami kecederaan parah di dada, tangan kiri dan kanan manakala rakan mangsa sempat melarikan diri dari tempat kejadian.
"Seterusnya kesemua suspek pergi ke belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong yang terletak kira-kira 2.7 kilometer (km) dari kejadian pertama.
"Kesemua suspek kemudian menyerang mangsa yang juga pekerja kedai cuci kereta yang berada di situ menyebabkan seorang mangsa mengalami cedera parah di pelbagai anggota badan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 20-an itu kemudian dibawa ke HSAH oleh rakan mereka dan salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia.
Belia berkata, siasatan di tempat kejadian turut dibantu oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K-9) masih menyiasat motif kejadian bagi kedua-dua kes berkenaan.
"Pihak polis masih menyiasat motif kejadian bagi kedua-dua kes berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah yang disiasat secara berasingan.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati bagi kesalahan bunuh dan jika disabitkan kesalahan menyebabkan cedera parah boleh di hukum penjara sampai dua puluh tahun dan juga dikenakan denda atau sebatan.
"Setakat ini polis sudah menahan tiga lelaki berusia 20-an hingga 30-an di sekitar daerah ini untuk membantu siasatan berhubung kes itu.
"Berikutan itu, pihak polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi IPD Kuala Muda di talian 04-4299222 atau Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Azmirul bin Abdul Aziz di talian 019-444 6521.