CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 56267|Reply: 0

[Kedah] Tragedi Elmina: Muhammad Hafiz permudah urusan ibu bapa ketika hidup dan mati

[Copy link]
Post time 16-8-2024 03:55 PM | Show all posts |Read mode
Tragedi Elmina: Muhammad Hafiz permudah urusan ibu bapa ketika hidup dan mati


Oleh Noorazura Abdul Rahman - Ogos 16, 2024 @ 3:30pm [email protected]







Muhamad Salleh bersama isteri, Jamilah Ismail, 54, menunjukkan gambar anak sulung mereka Muhamad Hafiz. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman





SUNGAI PETANI: "Saya sering terbayang wajahnya, biarpun sudah setahun berlalu kematiannya secara mengejut, amat sukar untuk dilupakan kenangan kami bersama," kata Muhamad Salleh Othman, 58.

Muhammad Salleh adalah bapa kepada mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos tahun lalu, Allahyarham Muhamad Hafiz, berkata dia menyifatkan anak sulungnya itu sebagai insan yang baik dan tidak pernah menyusahkan ibu bapa sama ada ketika hayatnya, mahu pun selepas kematian.

Beliau berkata, arwah seolah-olah sudah bersedia untuk memudahkan segala urusan ahli keluarga, sekiranya dia meninggal dunia.

"Semasa hayat, dia tidak pernah tinggikan suara dengan saya dan ibunya Jamilah Ismail, 54. Dia juga tidak pernah tunjuk dia susah, manakala selepas kematian, urusan pengecaman jenazah sehingga proses pengebumiannya sangat mudah.

"Segala proses dokumentasi untuk bank dan tuntutan insuran juga mudah, dia sudah catatkan dalam diari, tiada satu pun yang tertinggal, kami tidak perlu ke sana ke mari untuk lakukan proses berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sidam Kiri, di sini, hari ini.



Anggota pasukan forensik Polis Diraja Malaysia menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Ogos tahun lalu. - Foto fail



Laporan akhir mengenai nahas pesawat Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam mendedahkan faktor nahas berlaku disebabkan tindakan peluasan tidak sengaja ‘lift dump spoiler’ oleh kru penerbangan ketika melakukan pemeriksaan sebelum mendarat. - Foto fail NSTP

Dalam kejadian itu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang mengorbankan 10 nyawa iaitu lapan penumpang (enam penumpang dan dua anak kapal penerbangan) serta seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal (p-hailing).

Sebagai mengingati setahun pemergian arwah yang juga seorang penunggang motosikal p-hailing, Muhamad Salleh mengadakan kenduri tahlil dan bacaan Yasin di rumah mereka hari ini.

Bapa kepada lima orang anak ini, berkata dia tidak tahu apa lagi kebaikan arwah anaknya sehingga rakan sekerjanya dari Selangor akan datang menziarahi dan mengadakan bacaan tahlil di kubur arwah setiap dua atau tiga bulan sekali.

Katanya, rakan-rakan sekerja arwah turut akan menziarahi mereka di rumah selepas selesai tahlil di pusara arwah.

"Saya rasa sebak apabila rakan-rakannya sanggup datang walau pun jauh, mereka bertolak dari Selangor seawal jam 3 atau 4 pagi dan akan pulang semula ke sana pada hari yang sama semata-mata untuk ziarah kubur arwah.

"Ada seorang rakannya juga sudah dijemput Ilahi dalam kemalangan selepas lapan bulan kematian arwah, kawan arwah pernah kata kenapa Allah 'tak ambil' dia dulu sebelum arwah, apabila rakannya sudah meninggal dunia, saya dapat rasa betapa akrabnya persahabatan mereka," katanya.

Muhammad Salleh berkata, perasaan rindu terhadap arwah sedikit terubat apabila Allah menghadirkan seorang cucu lelaki yang wajahnya hampir seiras dengan arwah semasa kecil.

Katanya, telatah cucunya yang kini berusia 10 bulan juga hampir sama dengan arwah apabila mahu bersiar-siar dengan motosikal selepas dia pulang daripada berniaga.

"Arwah dulu pun sama, apabila saya pulang kerja, dia akan ajak ronda-ronda naik motosikal, sekarang cucu saya pula, walaupun letih lepas pulang berniaga, tapi apabila cucu ajak dan lihat wajahnya seperti Muhammad Hafiz, saya tetap akan layan dan bawa dia pusing taman ini," katanya yang kini mempunyai dua cucu.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1285718/tragedi-elmina-muhammad-hafiz-permudah-urusan-ibu-bapa-ketika-hidup






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 09:23 AM GMT+8 , Processed in 0.038979 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list