Dakwa mahu cepat ke hospital, polis rekod keterangan lelaki pandu kereta lawan arus
BERNAMA
GAMBAR hiasan
George Town: Polis mengesahkan sudah memanggil seorang lelaki selepas rakaman videonya yang memandu melawan arus di Jalan Masjid Negeri di sini, tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata video berdurasi 39 saat yang dirakam daripada kamera papan pemuka kenderaan itu dimuat naik di aplikasi X dan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 4.48 petang Sabtu lalu.
"Susulan itu, pemandu kenderaan terbabit yang berusia 20-an sudah dipanggil semalam untuk direkodkan keterangannya bagi tujuan siasatan
"Berdasarkan keterangan lelaki itu mendakwa dia dari Seberang Perai Selatan (SPS) dan tidak tahu selok belok jalan di George Town. Dia juga memberitahu hendak cepat ke hospital," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Razlam berkata saman turut dikeluarkan terhadap lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan rakaman video berkenaan.
Disiarkan pada: Ogos 19, 2024 @ 10:33am
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/08/1124401/dakwa-mahu-cepat-ke-hospital-polis-rekod-keterangan-lelaki-pandu-kereta
|