Bukit Kayu Hitam: "Serpihan bahagian atas siling akibat kemalangan itu jatuh ke bilik tidur saya. Alhamdulillah, saya bertindak pantas dan berjaya mengelak," kata Shafiqa Shafie, 37.
Dia memberi reaksi itu ketika menceritakan detik cemas rumahnya di Taman Desa Bayan Emas, di sini rosak teruk akibat dirempuh sebuah treler kontena.
Menurut Shafiqa, ketika kejadian dia berehat dalam bilik sebelum dikejutkan dengan bunyi brek yang kuat.
"Treler kontena itu merempuh anjung hadapan rumah yang terletak dekat dengan bilik tidur rumah saya.
"Saya berlari ke dapur untuk keselamatan. Sebaik menyedari treler itu berhenti, saya bergegas keluar untuk mendapatkan bantuan jiran," katanya ketika ditemui, hari ini.
Shafiqa berkata, suaminya, Mohd Shahrul Md Wazir, 35, yang juga seorang pemandu lori tiada di rumah kerana bekerja ketika kejadian.
Dia ketika itu seorang diri dalam rumah dan bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.
"Setiap hari saya mendoakan keselamatan saya, tidak sangka perkara ini boleh berlaku tetapi Alhamdulillah Allah melindungi saya hari ini," katanya.
Ibu mentuanya, Jerina Halil, 62, berkata, dia bersyukur dan lega kerana menantunya tidak mengalami sebarang kecederaan atau tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.
"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana menantu saya selamat. Saya percaya malaikat melindunginya," katanya.
Jerina turut menjelaskan kemalangan membabitkan treler perkara biasa di kawasan perumahan itu dan penduduk sudah membuat beberapa aduan berhubung demi keselamatan mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu dan siasatan masih dijalankan setakat ini.
Beliau berkata, selain merempuh rumah, kemalangan turut merosakkan dua kereta dan sebuah motosikal yang parkir di rumah berkenaan.
"Pemandu treler terbabit mengalami cedera ringan dan polis dalam proses untuk menahan pemandu terbabit dan melakukan ujian saringan air kencing," katanya.