Alor Setar: Tiga lagi lelaki ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian bunuh seorang pekerja cuci kereta di Bedong, Rabu lalu.
Kejadian yang berlaku 1.50 pagi itu turut menyebabkan seorang pengawal keselamatan parah dengan kesan tetakan.
Kedua-dua mangsa itu ditemukan pada jarak 2.7 kilometer (km) di lokasi berasingan di Bedong.
Timbalan Ketua Polis Kedah Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tiga lelaki berusia 27, 31 dan 36 tahun itu ditahan petang semalam untuk membantu siasatan kejadian itu.
Beliau berkata, mereka direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan dalam kejadian ini adalah seramai 13 orang.
"Sembilan daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala empat lagi ditahan mengikut Seksyen 326/148 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah /merusuh dengan menggunakan senjata.
"Kita percaya kes ini membabitkan perselisihan faham akibat kes lama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Adzli berkata, hasil semakan mendapati, lapan daripada suspek terbabit mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Beliau berkata, polis turut merampas barangan yang berkaitan kejadian ini iaitu sebuah kereta jenis Toyota, dua buah motosikal jenis Yamaha dan Honda, 13 buah telefon binbit pelbagai jenama, dua buah topi keledar, tiga helai baju, tiga helai seluar dan dua anak kunci.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang
pekerja cuci kereta mautmanakala seorang pengawal keselamatan cedera parah dengan kesan kecederaan dipercayai ditetak di kepala dan badan di lokasi berasingan di kawasan Bedong, di sini, 14 Ogos lalu.