Satu PPS dibuka di Merbok berikutan banjir kilat dan air pasang besar
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 20, 2024 @ 10:34pm [email protected]
PPS di Dewan Kampung Sungai Pial menempatkan 16 keluarga yang terkesan akibat banjir kilat dan air pasang besar. NSTP/Ihsan APM
SUNGAI PETANI: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini berikutan banjir kilat yang melanda hari ini susulan hujan lebat dan air pasang besar.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Amirul Asyraf Mohamad Mayidin, berkata PPS itu dibuka di Dewan Kampung Sungai Pial, jam 6.30 petang.
Beliau berkata, kejadian banjir kilat ini berlaku pada jam 3.45 petang yang menyebabkan kawasan Kampung Huma dinaiki air.
"Kawasan Kampung Sungai Pial juga terjejas akibat banjir kilat, namun bilangan mangsa masih dalam bancian.
"Hujan lebat yang melanda di Mukim Merbok menyebabkan punca banjir kilat berlaku selain air pasang besar.
"Paras air dilaporkan meningkat sehingga 0.5 meter menyebabkan 16 mangsa terpaksa berpindah ke PPS yang dibuka hari ini," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Amirul Asyraf berkata, kejadian itu menyebabkan kerosakan harta benda mangsa.
Setakat ini, katanya, cuaca dilaporkan tiada hujan dan operasi disertai pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan APM.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1287656/satu-pps-dibuka-di-merbok-berikutan-banjir-kilat-dan-air-pasang-besar
|