Sik: Sekumpulan jemaah lelaki yang hendak menunaikan solat Maghrib di sebuah surau Kampung Namek Tua, di sini terkejut sebaik menyedari kehadiran ular tedung selar di atas tingkap surau berkenaan, hari ini.
Dikatakan ketika itu, ular tedung selar sepanjang tiga meter itu dipercayai sudah mengembangkan kepalanya dan bersedia untuk mematuk apabila terancam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik Zulkhairi Mat Tanjil berkata, kejadian itu disedari seorang jemaah yang dalam saf yang terdengar dengusan sebelum ternampak ular tedung selar berkenaan.
Beliau berkata, mereka kemudian menghubungi BBP Sik dan sebahagian jemaah meneruskan solat secara bergilir-gilir bagi memastikan ular itu tidak lari sebelum anggota bomba sampai.
"Sepasukan anggota dari BBP Sik tiba di lokasi sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.10 malam.
"Anggota kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap reptilia berbisa itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi menasihatkan orang ramai di daerah itu supaya berhati-hati dengan cuaca yang tidak menentu dan lembap ketika ini.
ANGGOTA BBP Sik berjaya menangkap ular tedung selar sepanjang tiga meter di surau Kampung Namek Tua. FOTO Ihsan Bomba