Alor Setar: Bekas jurugambar The New Straits Times Press (NSTP), Mokhsin Abidin, 57, meninggal dunia di rumahnya di Tanjung Bendahara, malam tadi.
Adik Allahyarham, Syaharim Abidin, 49, berkata, abang keduanya itu dipercayai demam sejak Sabtu lalu, dan disedari meninggal dunia sekitar jam 10 malam tadi.
Katanya, dia sempat menghantar makanan ke rumah arwah pada malam Sabtu lalu, ketika abangnya masih demam.
"Namun pada jam 10 malam tadi, saya pergi ke rumahnya dan mendapati abang sudah meninggal dunia.
"Saya rasa badannya sejuk dan sudah tidak bernafas," katanya ketika dihubungi hari ini.
Syaharim berkata, Mokhsin adalah anak kedua daripada lapan beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini dan mereka sekeluarga reda dengan pemergiannya.
"Arwah memulakan tugas di NSTP pada penghujung tahun 1980-an sebelum berhenti pada tahun 2014.
"Dia kemudian pulang ke kampung di Kedah dan melakukan pelbagai kerja di kampung," katanya.
Menurut Syaharim, arwah yang juga seorang duda meninggalkan tujuh anak.
Katanya, jenazah Allahyarham masih berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan dijangka dikebumikan di Tanjung Bendahara di sini, selepas Zuhur, hari ini.