Georgetown: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bersedia dengan senarai 100 saintis untuk menyertai program jangkau luar ke 100 sekolah di seluruh negara bermula bulan ini.
Menterinya, Chan Lih Kang berkata, Akademi Sains Malaysia (ASM) akan memperkenalkan program dinamakan Sains, Teknologi Inovasi 100 kuasa tiga (STI 100³) bagi merealisasikannya dalam tempoh 100 hari pelaksanaan program.
"Kami sudah mendapat kerjasama dan kebenaran Kementerian Pelajaran (KPM), jadi kami akan memulakan program itu pada bulan ini dan dalam tempoh 100 hari, kami akan pergi ke 100 sekolah.
"Kami mempunyai perancangan program dan kesemuanya adalah saintis tempatan yang dikumpul dalam negara," katanya selepas merasmikan Pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) 2024 Peringkat Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Lih Kang menyenaraikan 100 saintis untuk mengadakan program bagi menarik minat pelajar dalam bidang STEM di 100 sekolah.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, program itu tidak hanya disertai saintis,
malah dari industri yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing seperti bioteknologi, angkasa, nanoteknologi termasuk pemilik syarikat-syarikat pemula.
Menurutnya, pihaknya akan melaksanakan STI 100³ secara bersama dengan program lain untuk membudayakan STI seperti Kem STEM, Kecerdasan Buatan (AI) untuk Belia dan Malaysia Techlympics bagi memperkasa golongan sasar dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi berimpak tinggi.
"Program ini tiada silibus, tetapi lebih kepada memberi inspirasi. Kita bawa saintis ke sekolah untuk menyuntik semangat pelajar dengan tekad memupuk lebih minat dan kecenderungan terhadap bidang STI khususnya STEM," katanya.