Kangar: Seorang tukang jahit maut selepas motosikal yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke laut di Sungai Berembang, Simpang Empat, di sini hari ini.
Mangsa, Chan Kun Loon, 46 dari Taman Simpang Jaya, Simpang Empat maut selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan akibat kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 9.35 pagi.
"Kemalangan berlaku di simpang Jalan Behor Mali-Sungai Berembang. Dalam kejadian itu, mangsa sedang menuju ke arah Jalan Sungai Berembang.
"Ketika mangsa melalui berkenaan, motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan sehingga terbabas lalu langgar tembok jalan.
"Impak pelanggaran menyebabkan mangsa bersama motosikalnya terpelanting sehingga masuk ke dalam laut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian bertindak menghubungi polis dan ambulans.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
"Tiada sebarang unsur jenayah di kesan," katanya.
Mayat di bawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat.