Kedah simpan air maksimum hadapi kemarau tahun depan
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Ogos 26, 2024 @ 12:34pm [email protected]
Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria pada sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini. - Foto ihsan UPDA
ALOR SETAR: Kedah akan memastikan empangan di negeri ini mempunyai simpanan air maksimum sebagai persediaan menghadapi musim kemarau yang dijangka lebih panjang tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air serta Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, berkata bagi meminimumkan kesan kemarau, pelepasan air empangan bagi kegunaan domestik dan pertanian turut dikawal mengikut keperluan semasa.
"Pelepasan air ini dibuat mengikut prosedur operasi standard yang tertentu, ia tidak dilepas begitu sahaja.
"Pelepasan air empangan bagi kegunaan domestik dan pertanian akan dikawal mengikut keperluan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PN-Tokai) berkenaan persediaan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dalam menghadapi kemarau panjang pada tahun hadapan seperti yang diramal Jabatan Meteorologi Malaysia.
Mohamad Yusoff berkata, LSANK mempunyai pelan jangka pendek dan panjang untuk memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi kegunaan domestik dan pertanian di negeri ini.
Katanya, bagi pelan jangka pendek, LSANK mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) bagi Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan dan pada tahun ini yang dilakukan pada 29 hingga 31 Julai lalu.
"Pelaksanaan OPA melibatkan kawasan tadahan Empangan Muda dan Pedu dengan operasi diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan bagi meningkatkan kapasiti simpanan air di empangan," katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusoff berkata bagi pelan jangka panjang pula, beliau berkata LSANK telah memohon kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) untuk pembangunan kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Katanya, terdapat 27 tapak di Lembangan Sungai Muda yang telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan.
"Melalui RMK12, terdapat tiga cadangan pembangunan kolam TAPS di sepanjang Lembangan Sungai Muda dan satu di Lembangan Sungai Kedah," katanya.
Selain itu, beliau berkata LSANK merancang untuk mengemukakan lagi permohonan dalam RMK13 untuk pembangunan TAPS dan empangan rendah di sepanjang Lembangan Sungai Muda.
Katanya, pembangunan empangan rendah berhampiran dengan muka sauk loji rawatan air (LRA) akan membantu meningkatkan paras air di kawasan muka sauk pada musim kemarau dan membantu mengurangkan gangguan terhadap operasi LRA.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1290174/kedah-simpan-air-maksimum-hadapi-kemarau-tahun-depan
|