Kangar: Polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang hampir setahun lalu di Perlis.
Lelaki yang dikenali sebagai Mohd Amir Ishak, 29, dari Kampung Serdang, Simpang Empat, Kangar dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 31 Ogos tahun lalu dan gagal dihubungi sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, ibu lelaki berkenaan membuat laporan polis pada 20 Mei lalu memaklumkan anaknya hilang.
"Lelaki itu dikenali sebagai Mohd Amir Ishak yang berusia 29 tahun dan dia dilaporkan tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sehingga kini," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Katanya, ibunya memaklumkan lelaki itu dilihat kali terakhir jam 7 pagi, 31 Ogos ketika keluar dari rumah mereka.
"Ketika keluar dari rumah, Mohd Amir membawa sepasang kemeja T berwarna kelabu dan seluar jeans serta menunggang motosikal jenis Modenas Kriss berwarna biru bernombor plat pendaftaran KBT 4582," katanya.
Yusharifuddin berkata, hebahan dan bantuan orang ramai diperlukan setelah pihaknya gagal mengesan keberadaannya di Perlis.
"Kita memohon orang ramai yang mengesan, melihat atau mengenali Mohd Amir dapat tampil memberi maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dan menghubungi talian 'hotline' IPD Kangar di talian 04-987 2222.
"Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Y Thilip di nombor 019-547 1323," katanya.