Jitra: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hilang penglihatan sebelah mata kirinya selepas dikesan menghidap kanser mata 'retinoblastoma' sejak Mei lalu.
Seif Afi Shairazy juga dilahirkan sebagai kanak-kanak autisme itu tidak selesa melihat dan bergantung pada mata kanan.
Ibunya, Nurshuhada Nordin, 38, berkata, anak bongsu dari dua beradik itu dikesan menghidap penyakit itu selepas dia mendapati ada sinar putih dalam mata menyebabkan dia tidak sedap hati dan membawanya ke Klinik Kesihatan Sungai Korok, di sini untuk melakukan pemeriksaan.
Katanya, doktor kemudian meminta dia membawa Seif menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bertemu dengan pakar mata.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, anak saya disahkan menghidap kanser mata menyebabkan hati saya luluh kerana dia masih kecil.
"Saya kemudian diminta membawa Seif ke Hospital Tunku Azizah (HTA) di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut namun doktor memberitahu mata kiri anak saya tidak perlu dibuang tetapi perlu menjalani kemoterapi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wira Mas, Kepala Batas, di sini hari ini.
Menurut Nurshuhada, anaknya perlu menjalani lapan pusingan kemoterapi dan setakat ini Seif sudah lima kali melakukannya dan masih mempunyai tiga pusingan lagi.
Katanya, disebabkan itu, mereka terpaksa berulang alik ke HTA di Kuala Lumpur setiap tiga minggu sekali dan memerlukan sekurang-kurangnya RM500 hingga RM600 untuk kos perjalanan dan rawatan di sana tetapi bergantung berapa lama mereka berada di sana.
"Saya sebelum ini bekerja di kedai percetakan di Changlun namun berhenti sejak pandemik Covid-19, tiga tahun lalu menyebabkan saya kini hanya suri rumah sepenuh masa.
"Saya hanya mengharapkan pendapatan suami, Shairazy Saad, 39, yang bekerja sebagai pembantu penguatkuasa di SWCorp untuk menampung kehidupan keluarga.
"Setiap kali membawa Seif ke Kuala Lumpur, kami terpaksa tinggalkan anak sulung, Nur Sameera Ardini, 12, tinggal di rumah neneknya di Alor Ganu di Alor Setar kerana dia masih bersekolah," katanya.
Menurutnya lagi, dia terpaksa meminjam kereta bapanya ke Kuala Lumpur disebabkan kereta mereka kerap rosak dan memerlukan wang banyak untuk membaikinya.
Katanya, berharap anaknya bongsu semakin sihat dan akan meneruskan apa juga rawatan walaupun doktor memaklumkan peratusan untuk dia hidup agak tinggi.
"Seif memang lincah ketika di rumah tetapi ada masanya dia tidak selesa kerana tidak dapat melihat seperti kanak-kanak lain.
"Kami pun tinggal menyewa di rumah ini dengan sewa bulanan RM350," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank ibunya, 152068845060 (Nurshuhada Nordin).
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang mengunjungi pesakit kanak-kanak itu menghulurkan sumbangan melalui Tabung Sedekah Jumaat CSM untuk meringankan beban keluarga berkenaan.
Katanya, CSM turut memberi sokongan kepada pasangan suami itu supaya meneruskan rawatan anak mereka seperti yang disarankan doktor.