Edited by sfhzuraz at 28-8-2024 06:29 PM
Usah salah menyalah, kerjasama bangunkan agenda pendidikan
OlehROSLINDA HASHIM
28 Ogos 2024 06:04pm
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Nor Azrina
ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan diterajui Fadhlina Sidek tidak pernah meminggirkan Kedah dalam pembangunan sektor pendidikan meskipun berbeza aliran politik.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Nor Azrina Surip berkata, ini dibuktikan dengan sejumlah dana diperuntukkan khusus di Kedah untuk pelaksanaan 68 projek pembinaan semula bangunan daif mencecah kos RM342,816,591.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 49 projek siap sepenuhnya sementara 11 dalam pembinaan dan lapan lagi di peringkat pra pembinaan.
“Fadhlina beberapa kali turun ke Kedah sepanjang tahun ini. Malah beliau sentiasa perjuangkan isu pendidikan untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang, ketidakupayaan, kaum mahupun ekonomi,” katanya di sini pada Rabu.
Nor Azrina berkata, pada tahun ini, sebanyak 829 projek penyelenggaraan di 573 institusi pendidikan telah diluluskan bagi memastikan akses terbaik kepada semua murid.
“Ini antara bukti kesungguhan beliau meskipun mungkin sering dinafikan sesetengah pihak.
“Salah menyalah bukanlah jalan penyelesaian, harus ada usaha dan kerjasama dari kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk manfaat rakyat dan negara,” katanya.
Menurutnya lagi, biarpun kejujuran dan kesungguhan itu sering dipertikaikan oleh pimpinan yang tidak sehaluan politik namun sikap berlapang dada dan keterbukaan menjadi budaya politik matang yang diamalkan.
“Emosi tidak sewajarnya berada di hadapan berbanding akal dalam apa jua keadaan. Kemarahan perlu ada asas yang benar, bukan tuduhan semata-mata tanpa bukti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang membuat tuduhan terhadap Menteri Pendidikan dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.
Pada Isnin, Sanusi turut kecewa apabila sektor pendidikan didakwa dicemari agenda politik kepartian.
Ia susulan kepimpinan negeri dihalang memasuki kawasan sekolah mahupun menjalin kerjasama dalam program berkaitan pendidikan, sedangkan berlaku sebaliknya membabitkan pemimpin Kerajaan Perpaduan.
Sebelum itu, Exco Pendidikan negeri, Datuk Mohd Azam Abd Samat mendedahkan, Program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPas) dianjurkan kerajaan negeri tidak mendapat kerjasama JPN dengan tidak membenarkan guru dan pengetua menyertainya.
Dalam pada itu, Nor Azrina berkata, selaku pemimpin negeri, Sanusi wajar menunjukkan adab dan akhlak yang tinggi untuk sama-sama merealisasikan agenda pendidikan.
“Berbeza pandangan bukanlah tiket untuk mengapi-apikan keadaan. Saya harap kita berpolitik dengan penuh adab dan kesopanan serta kematangan dan menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu.
Nor Azrina turut menegaskan, pemimpin dari Kerajaan Persekutuan telah menunjukkan contoh adab dan keterbukaan ketika menjalankan tugas.
“Ramai menteri Kerajaan Persekutuan turun ke Kedah melaksanakan tugas untuk kesejahteraan rakyat.
“Pada Mei, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri yang turut dihadiri Sanusi, keterbukaan Anwar serta adab menjadi pegangan beliau.
“Malah Anwar menyatakan, perbezaan pandangan tidak menjadi penghalang memperkukuh kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah demi manfaat rakyat,” ujarnya.
Tambah Nor Azrina, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasir juga kerap meninjau projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah yang mendapat dana Kerajaan Persekutuan agar tidak terus mengalami kelewatan dari jadual asal.
https://www.sinarharian.com.my/article/682766/edisi/utara/usah-salah-menyalah-kerjasama-bangunkan-agenda-pendidikan
|