Yan: Serangan ulat gulung daun atau ulat putih tidak akan menjejaskan hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berikutan ia hanya dikesan berlaku di beberapa kawasan di Kedah dan Perlis.
Pengerusi Mada Datuk Dr Ismail Salleh berkata, berdasarkan hasil tuaian fasa satu baru-baru ini, hasil padi dilihat lebih baik dari musim lalu biarpun menghadapi cuaca panas yang panjang.
Bagaimanapun, beliau mengakui kawasan yang diserang ulat itu akan terkesan.
"Sudah tentu akan terkesan tetapi di kawasan yang sedang tuai sekarang bagi fasa satu dan wilayah lain nampak ok walaupun pada hari itu kita rasa hasil akan terjejas (akibat kemarau) tapi akhirnya hujan, ia bantu untuk pertumbuhan isi padi, jadi maknanya hasil sekarang lebih baik dari musim lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jelajah Amanat Merdeka @ Kedah di Pasar Tani Kekal Guar Chempedak di sini, hari ini.
Pelancaran program itu disempurnakan oleh Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Kelmarin, media melaporkan hasil tuaian padi kira-kira 352 pesawah di Perlis dijangka merosot selepas sebahagian sawah terjejas akibat diserang ulat gulung daun atau dikenali sebagai ulat putih sejak sebulan lalu.
Serangan ulat itu membabitkan kawasan sawah Wilayah 1 Mada seluas kira-kira 700 hektar.
Mengulas lanjut, Dr Ismail berkata, bagi mengekang kejadian serangan ulat itu berulang, pesawah diingatkan agar mematuhi jadual dan perlu peka dengan serangan ulat itu dari peringkat awal.
Ini kerana katanya, serangan ulat itu boleh dikawal sebelum ia merebak ke kawasan lain.
"Apabila dikesan ada serangan ulat itu kita terus racun, ia akan mati tapi apabila ia sudah merebak ia sukar untuk dikawal, sebab itu saya pesan kawasan yang dikesan ada serangan kita segera rawat.
"Selain itu, untuk kuatkan pokok padi kita buat terapi tanah menggunakan baja berunsurkan silika, daun dan batang pokok akan lebih kuat dan tahan penyakit akibat musim kemarau, kita sudah lakukan uji di lot-lot yang menggunakan silika, ia lebih tahan penyakit dan serangan haiwan perosak akibat kemarau," katanya.
Sementara itu, Dr Ismail turut memaklumkan wang sumbangan tunai kepada pesawah sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim sudah diterima Mada dan akan disalurkan tidak lama lagi.
"Sekarang ini kita tunggu surat penyelarasan daripada kementerian agar wang itu dapat disalurkan secara serentak kepada pesawah di seluruh negara," katanya.