Washington: Puteri Wales Kate Middleton pada Isnin berkata beliau sudah selesai menjalani rawatan kemoterapi untuk kanser yang tidak didedahkan dan akan menjalankan lebih banyak tugas diraja dalam "beberapa bulan akan datang", lapor United Press International (UPI).
"Walaupun saya telah menamatkan rawatan kemoterapi, laluan saya untuk penyembuhan dan pemulihan penuh adalah panjang dan saya mesti terus menghadapi setiap hari seperti biasa," kata Kate yang juga isteri kepada Putera William dalam satu hantaran di X.
Hantaran itu disertakan dengan video memaparkan klip keluarga pasangan diraja dan tiga anak mereka dalam suasana luar bandar yang dipercayai di Istana Balmoral, Scotland.
Menurut Kate, sukar untuk menggambarkan betapa beliau berasa lega untuk menyelesaikan rawatan kemoterapinya ketika musim panas semakin hampir ke penghujungnya.
"William dan saya sangat berterima kasih atas sokongan yang kami terima dan telah mendapat kekuatan yang besar daripada semua orang yang membantu kami pada masa ini," katanya, sambil menzahirkan penghargaan terhadap "kebaikan, empati dan belas kasihan semua pihak" yang disifatkannya sebagai "sangat merendah diri."
Pada Mac lepas, Istana Buckingham mengumumkan bahawa Kate telah disahkan menghidap kanser dan sedang menjalani rawatan selepas beliau menjalani pembedahan abdomen pada Januari.
Kate pada Isnin menyifatkan sembilan bulan terakhirnya sebagai "amat sukar" bagi keluarga yang rapat, sambil menambah bahawa "hidup boleh berubah sekelip mata" dan untuk mengharunginya, "mereka perlu mencari jalan untuk "menempuhi cabaran" dan perjalanan yang tidak diketahui."
Pengalaman kansernya menurut beliau adalah "kompleks, menakutkan dan tidak dapat diramalkan" bukan sahaja untuk dirinya tetapi "untuk semua orang, terutamanya mereka yang paling rapat dengan anda."
Menurut Kate, tumpuannya kini adalah untuk "melakukan apa yang beliau mampu untuk kekal bebas kanser."
Harian Metro
|