Alor Setar: Aras air di lapan sungai di negeri ini terus melepasi tahap bahaya setakat 7 pagi tadi.
Paras tujuh daripada sungai berkenaan menunjukkan trend menaik, manakala satu daripadanya menunjukkan penurunan.
Berdasarkan laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan tiga sungai di daerah Kubang Pasu, dua sungai di daerah Kota Setar dan masing-masing satu di Yan, Padang Terap serta Pendang.
Tiga sungai di daerah Kubang Pasu iaitu Sungai Terap di Kepala Batas mencatatkan bacaan 4.21 meter (m) yang melepasi tahap bahaya 3.8 m.
Selain itu, dua lagi sungai di daerah sama iaitu Sungai Bata, di Kampung Bata mencatatkan bacaan 9.39 m (tahap bahaya, 9.14 m), manakala Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, 22.95 m (tahap bahaya, 21.6 m).
Di Kota Setar, Sungai Anak Bukit di Taman Aman mencatatkan bacaan 3.19 m (tahap bahaya, 2.6 m) dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR menunjukkan bacaan 1.94 m (tahap bahaya, 1.7 m.
Dalam pada itu, Sungai Titi Kerbau, Kubur Panjang di daerah Pendang pula mencatatkan bacaan 6.36 m (tahap bahaya, 6.3 m).
Sungai Perik di Kampung Perik di daerah Padang Terap pula mencatatkan bacaan 14.83 m (tahap bahaya, 14.2 m).
Sungai Gurun di Kampung Perupok di daerah Yan Pula mencatatkan bacaan 3.68 m (tahap bahaya, 3.5 m).