RASMI: Masidi (enam kanan) bersama Pengerusi Media Chinese International Limited, Tiong Choon (tujuh kanan) memotong kek dalam majlis perasmian berkenaan.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyambut baik rancangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melesenkan perkhidmatan media sosial yang berkuatkuasa mulai 1 Januari tahun depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, banyak kandungan berita di media sosial dalam era penyebaran berita digital ketika ini membawa kesan buruk kepada masyarakat.
Katanya, ia disebar dalam pelbagai bentuk termasuklah ucapan kebencian, hasutan perkauman dan keagamaan, penyebaran berita palsu, pembulian siber, pembunuhan karakter dan penipuan.
“Semua insiden seperti itu boleh tersebar dengan cepat seperti api, menimbulkan perpecahan dan memberi kesan buruk kepada ramai orang.
“Justeru, rancangan SKMM mewujudkan kod tingkah laku untuk platform media sosial dengan tindakan yang akan diambil terhadap pelanggar adalah sangat dialu-alukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sambutan Ulang Tahun ke-95 Sin Chew Daily dan majlis Anugerah Selebriti Sabah di Dewan Hakka di sini, semalam. Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata, kerajaan negeri komited untuk mengekalkan persekitaran media yang adil serta saksama selain memastikan semua suara boleh didengari dan pandangan dihormati.
Katanya, penghormatan dan perlindungan terhadap kebebasan akhbar ini adalah tonggak penting bagi kemajuan sosial dan pembangunan demokrasi.
“Kerajaan negeri juga komited dalam usaha ini, menyokong dan menjadi penganjur bersama tanpa gagal, Anugerah Wartawan Kinabalu setiap tahun yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Sabah.
“Ia adalah sebagai mempromosikan kecemerlangan kewartawanan dan mengiktiraf karya terbaik serta menggalakkan dan mengiktiraf bakat baharu,” katanya.
Namun, Hajiji berkata, kebebasan akhbar juga perlu disertai dengan rasa tanggungjawab kerana laporan yang bertanggungjawab memberi impak kepada integriti sesuatu berita.
“Wartawan dan organisasi media mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan standard etika, termasuk mengesahkan dan menyemak maklumat dengan sumber yang boleh dipercayai serta memberikan liputan yang seimbang untuk merangkumi semua pandangan.
“Ini akan memastikan laporan mereka kekal neutral, objektif, dan bebas daripada sebarang pengaruh yang tidak wajar,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Sin Chew Daily telah melalui perjalanan yang jauh, menandakan kepentingannya sebagai penerbit berita dan penyedia berita untuk memberi maklumat dan mentafsir berita serta maklumat lain yang berkepentingan awam.
Katanya, selama 95 tahun, Sin Chew Daily bukan sahaja menjadi peneraju dalam akhbar Malaysia tetapi juga salah satu media yang paling berpengaruh di rantau Asia.
“Marilah kita bertekad untuk mempromosikan kebebasan akhbar dan berusaha ke arah masyarakat yang lebih terbuka, inklusif, dan progresif.
“Bersama-sama kita semua boleh berusaha untuk memerangi maklumat palsu dan menegakkan prinsip asas ketelusan, integriti, dan akauntabiliti.
“Kami juga berharap usaha berterusan Sin Chew Daily untuk memanfaatkan pengaruh medianya akan menyumbang secara positif kepada kemajuan dan pembangunan Sabah,” katanya.
|