CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 25091|Reply: 0

[Pulau Pinang] 'Rumah dah cuci, banjir semula'

[Copy link]
Post time 18-9-2024 02:07 PM | Show all posts |Read mode
'Rumah dah cuci, banjir semula'


Nur Izzati Mohamad[email protected]







PENDUDUK meredah air banjir ke tempat selamat dalam kejadian banjir yang berlaku di Kampung Sungai Kechil. FOTO Danial Saad





Tasek Gelugor: "Saya ingat keadaan (cuaca) makin baik, air dah surut… maka saya dan isteri mencuci rumah, namun kini terpaksa berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara)," kata Hairol Samsudin.

Hairol, 39, yang menetap di Kampung Lahar Yooi, di sini, berkata rumahnya dilanda banjir kilat sejak kelmarin sebelum dia bersama isteri Noratikah Nasri, 34, melakukan kerja-kerja pembersihan sebaik air surut.

Bagaimanapun, katanya, kurang 24 jam mencuci rumah berlaku semula kejadian banjir kilat yang teruk hingga terpaksa keluar dan berteduh di PPS.

"Ini kali keempat banjir kilat berlaku di rumah saya bulan ini dan paling teruk semalam apabila air cecah paras pinggang hingga kami sekeluarga perlu pindah. Sebelum ini, air naik hanya di pekarangan kediaman dan kembali surut.

"Pagi semalam saya dan isteri cuci rumah sebelum saya keluar bekerja kerana sangkakan cuaca semakin baik, namun tidak lama kemudian dapat panggilan daripada isteri supaya balik ke rumah kerana berlaku banjir kilat lagi.

"Apabila sampai, kereta sudah tak boleh masuk kawasan rumah dan saya terus berlari untuk membawa keluar isteri serta anak-anak," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, di sini, hari ini.

Katanya, dia lega kerana semua dokumen penting dapat diselamatkan meskipun barang niaga milik isterinya mengalami kerosakan.

"Bila kerap banjir, rumah saya tidak ada banyak sangat perabot kecuali barang niaga isteri yang disimpan dalam peti ais mengalami kerosakan kerana elektrik terpaksa ditutup," katanya.

Bagi nenek tiga cucu, Robiyah Rashid, 54, keselamatan ahli keluarganya lebih penting walaupun banyak perabot dan perkakas elektrik di rumah mengalami kerosakan.

"Kejadian (banjir) berlaku terlalu laju, sampai tak dapat nak selamatkan apa-apa barang, memang sehelai sepinggang keluar dari rumah semalam.

"Apa-apa pun selamat nyawa dulu sebab air sudah sampai paras pinggang, yang lain-lain nantilah fikir," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP) Zaiasmawi Nayan berkata, pihaknya akan menyelaraskan semua bantuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

"Kami akan memastikan semua keperluan yang diperlukan mangsa banjir dengan mendapatkan informasi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Sehingga kini, terdapat seramai 556 mangsa membabitkan 147 keluarga ditempatkan di 11 PPS di Seberang Perai.



Disiarkan pada: September 18, 2024 @ 1:52pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1135149/rumah-dah-cuci-banjir-semula





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-11-2024 05:10 AM GMT+8 , Processed in 0.042914 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list