Ramalan ribut, laut bergelora: Nelayan, pemancing diminta berhati-hati
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 19, 2024 @ 10:46am[email protected]
Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah menasihatkan orang ramai supaya peka dengan ramalan cuaca semasa sekiranya ingin melaksanakan sebarang aktiviti di sekitar pantai dan laut. - Foto hiasan
ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menasihatkan orang ramai supaya peka dengan ramalan cuaca semasa sekiranya ingin melaksanakan sebarang aktiviti di sekitar pantai dan laut.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata golongan nelayan bot kecil, pengusaha bot pelancong dan penumpang terutamanya perlu peka keadaan laut dan cuaca semasa bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda mereka terjamin.
Beliau berkata, ia untuk memastikan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku berikutan ribut yang dijangka melanda kawasan perairan negeri di utara Semenanjung sepanjang minggu ini.
"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini amat bahaya kepada semua aktiviti rekreasi pantai dan di laut.
"Sehubungan itu, Maritim Malaysia menggesa semua pihak yang ingin melaksanakan sebarang aktiviti di laut supaya memastikan keselamatan diri dengan memakai jaket keselamatan, membawa bersama Personal Locator Beacon (PLB) bagi memudahkan dan mempercepatkan bantuan CARILAMAT di laut sekiranya berlaku kecemasan selain memastikan bot yang akan digunakan dalam keadaan baik.
"Maritim Malaysia juga menasihatkan pengusaha bot pelancong mematuhi semua peraturan dan undang-undang di laut seperti memastikan kapasiti maksimum penumpang dan pemakaian serta penyediaan jaket keselamatan yang mencukupi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1300183/ramalan-ribut-laut-bergelora-nelayan-pemancing-diminta-berhati-hati
|