Alor Setar: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM13 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir yang berlaku di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, jumlah itu termasuk bantuan kewangan yang disalurkan agensi Persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Katanya, Kerajaan Persekutuan juga akan terus memantau kemajuan empat projek tebatan banjir di Kedah bagi memastikan kesan kerosakan banjir dapat diminimumkan pada masa hadapan.
"Di Kota Setar saja kita peruntukkan RM3 juta dan untuk seluruh negeri Kedah kita agihkan RM10 juta untuk pastikan selepas banjir apa-apa kerosakan dan ganti rugi yang munasabah dapat dibuat segera.
"Saya minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) selaraskan hal ini disegerakan.
"Tujuan saya datang juga adalah untuk pastikan perjalanan yang baik dan semua bantuan kepada rakyat termasuk pesawah padi disampaikan," katanya ketika ditemui selepas PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahim Mohamad.
Anwar berkata, secara keseluruhan keadaan banjir di Kedah adalah terkawal dan semua agensi berjaya menjalankan tugas dengan baik bagi meringankan beban penduduk yang terjejas.
Pada masa sama, beliau turut meminta semua mangsa banjir bersabar dan meminta semua pihak berdoa agar air surut segera bagi membolehkan orang ramai pulang ke rumah segera.
"Sekarang kita sudah sampaikan bantuan RM1,000 kepada orang ramai dan saya dengar Menteri Besar juga ada tambah bantuan juga, yang penting segala kerosakan, kerugian harta, haiwan ternakan dan hasil tanaman kita perlu teliti untuk ringankan beban ditanggung mereka.
"Bagi sekolah kerajaan atau negeri yang rosak kerana dijadikan pusat penempatan, ia akan ditampung kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan diuruskan Menteri Pendidikan," katanya.