Kepala Batas: Lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan polis menerusi Op Global sudah memulakan sesi pendidikan mengikut modul kendalian Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 1 Oktober lalu.
Malah pendidikan kanak-kanak yang didakwa menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan rumah amal Gabungan Ikhwan Sdn Bhd (GISBH) itu kini berada pada tahap sangat baik.
Berkongsi mengenai perkara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kesemua kanak-kanak itu sedang mengikuti pendidikan bersama pemantauan oleh kaunselor KPM.
"Saya dan Ketua Pengarah termasuk KSU (Ketua Setiausaha) KPM sudah melawat lokasi anak-anak terbabit ditempatkan.
"Mereka kini sedang mengikuti pendidikan bersama kaunselor kita melakukan semua proses pembelajaran menggunakan modul atau pembelajaran oleh KPM untuk memastikan mereka dapat mengikuti pendidikan secara langsung dan secara formal.
"Alhamdulillah, kita melihat perkembangan pendidikan mereka sangat lancar dan baik," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan pendidikan kesemua kanak-kanak yang menjadi mangsa berkaitan GISBH.
Sebelum ini, Fadhlina memaklumkan KPM akan mengambilalih aspek pendidikan ke atas lebih 300 kanak-kanak GISBH yang kini ditempatkan di rumah perlindungan, bermula 1 Oktober.
Beliau berkata, KPM akan melaksanakan pendidikan berdasarkan modul khas mengikut kohort pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
"Melalui fasa pertama ini, modul khas disediakan kerana mereka tidak berada dalam sesi persekolahan biasa dan arus perdana.
"Setakat ini kita buat penilaian 3M iaitu membaca, mengira dan menulis selain psikososial.. kita sedang melakukan sesi bersama kaunselor KPM," katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis menerusi Op Global menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun dalam serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan kerana disyaki menjadi mangsa eksploitasi.