SIBU: Dua pemuda dikenakan hukuman denda masing-masing RM2,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada orang lain.
Mohd Baddly Syah, 19, dan Bennedict Banta, 21, dijatuhi hukuman itu setelah kedua-dua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Majistret Romario Jonoi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang pemuda berusia 22 tahun dengan memukul mangsa.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Oktober 2024, lebih kurang jam 2.40 pagi di tempat parkir di Lorong Lanang 4 dan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara hingga satu tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit dengan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, berlaku pergaduhan membabitkan pelanggan di kawasan terbuka di hadapan sebuah premis hiburan di Lorong Lanang 4.
Pada 22 Oktober 2024, jam 1 pagi, empat pemuda ditahan termasuk kedua-dua tertuduh.
Sisatan polis yang dijalankan mendapati mangsa dipukul oleh kedua-dua tertuduh di tempat parkir di hadapan sebuah premis hiburan di Lorong Lanang 4.
Mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan mengalami kecederaan pada bahagian muka serta kulit kepala.
Kedua-dua tertuduh berjaya dikenal pasti sebagai penyerang semasa kawad cam oleh mangsa dan juga saksi kejadian.
|