Fadillah ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Dasar Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15.
KUCHING: Sebanyak 11 daripada 29 tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan sepenuhnya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurutnya, tujuh tuntutan diselesaikan sepenuhnya di bawah Kerajaan MADANI, manakala empat tuntutan selesai di bawah kerajaan sebelumnya.
“Daripada 29 tuntutan yang dibincangkan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), dua tuntutan selesai sebahagian/ interim; tiga sudah mempunyai keputusan dasar dan lapan dalam perbincangan.
“Lima tuntutan masih belum dapat diputuskan dan perlu dirujuk untuk perbincangan peringkat tertinggi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Dasar Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15, hari ini.
Menurutnya lagi, Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2024 pada 12 September lalu turut membincangkan tuntutan Pemberian Khas bagi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D, tuntutan berhubung sempadan laut dan bayaran royalti minyak, tuntutan duti setem serta tuntutan satu pertiga kerusi parlimen mewakili Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu katanya, mesyuarat tersebut antara lain bersetuju dan memutuskan beberapa perkara termasuk Kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebanyak RM600 juta diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mulai 2025.
“Seterusnya, melibatkan tuntutan mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750), hak negeri ke atas pelantar benua dan royalti minyak serta pembayaran tunai petroleum yang perlu dibincangkan oleh kepimpinan peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.
“Mesyuarat juga berseruju supaya Jabatan Peguam Negara mengadakan perbincangan bersama-sama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi meneliti semula tuntutan berhubung pertambahan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak dari sudut perundangan.
“Bersetuju agar tuntutan duti setem dibincangkan dalam forum yang berasingan memandangkan ia melibatkan tafsiran undang-undang dan memerlukan penelitian semula oleh pihak-pihak yang berkenaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited dalam memastikan perkara-perkara yang termaktub dalam MA63 untuk diselesaikan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta kerangka perundangan sedia ada.
“Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM) selaku Sekretariat MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 akan terus memantau kemajuan perbincangan tuntutan ini.
“Ia bagi memastikan penyelesaian bersama-sama antara kementerian/agensi berkaitan serta Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dapat dicapai,” ujarnya.
|