Sungai Petani: Dua maut termasuk seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Kubang Sapi, di sini, hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Amyrul Safuan Fadzil, 31, daripada Unit Kejuruteraan TUDM manakala seorang lagi mangsa, Muhammad Hambalee Ishak, 27, yang juga operator kilang meninggal dunia di tempat kejadian.
Kedua-dua mangsa masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 7.10 itu Muhammad Amyrul yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX sedang bergerak dari arah Sidam Kiri menghala ke Pinang Tunggal manakala Muhammad Hambalee yang menunggang Yamaha Y15ZR dari arah bertentangan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Muhammad Hambalee yang tiba di lokasi kejadian dipercayai hilang kawalan menyebabkan motosikalnya memasuki ke tengah jalan sebelum bertembung.
"Akibat dari pertembungan itu, kedua-dua penunggang terpelanting dan terjatuh di tengah jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hosital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.
Kes di Siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.