BANTUAN: Nizam (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima dalam majlis berkenaan.
TAWAU: Kerajaan Sabah menyediakan peruntukan sebanyak RM4.86 juta bagi membantu operasi sekolah-sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di zon Pantai Timur Tawau tahun ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, bantuan itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menghargai peranan semua institusi berkenaan kepada rakyat Sabah.
Katanya, kerajaan negeri pada tahun ini menyediakan tambahan peruntukan sebanyak RM2.70 juta iaitu RM56.75 juta berbanding tahun lepas sebanyak RM54.05 juta bagi menampung permohonan yang semakin bertambah.
“Tahun ini kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 1,839 permohonan membabitkan 339 kelulusan untuk sekolah dan 1,500 bagi badan-badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.
“Kita bersyukur kerana selama Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berjaya meletakkan negeri ini pada landasan yang betul,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan majlis penyerahan surat kelulusan kewangan kerajaan negeri kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam bagi zon Pantai Timur Tawau, di sini, hari ini.
Menurutnya, kestabilan serta hasil negeri yang terus meningkat ini membolehkan kerajaan dapat memajukan Sabah dan membantu semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Kerajaan negeri telah membuktikan kecemerlangan dalam pentadbiran menerusi bantuan kewangan yang terus meningkat setiap tahun seperti yang dilakukan hari ini.
“Bantuan ini menandakan kerajaan negeri mengamalkan dasar keadilan serta kesaksamaan dalam semua aspek demi mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya.
PENERIMA: Nizam bersama semua pengerusi dan wakil institusi penerima bantuan bagi zon Pantai Timur Tawau.
Nizam berkata, bantuan kewangan ini juga disifatkan sebagai pelengkap untuk meringankan beban pihak sekolah dan badan keagamaan bagi memastikan kemudahan institusi berkenaan dalam keadaan kondusif, selamat serta selesa.
“Semoga dengan bantuan ini dapat memberikan keselesaan dan manfaat serta memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, beliau berkata, permohonan bantuan kewangan bagi tahun depan akan mula dibuka bermula 2 Januari hingga 31 Mac 2025.
“Saya percaya dengan kedudukan kewangan yang kukuh, kerajaan negeri mampu meningkatkan lagi jumlah bantuan ini,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 73 institusi daripada zon Pantai Timur Tawau iaitu Lahad Datu, Tungku, Kunak, Semporna, Kalabakan dan Tawau telah menerima bantuan kewangan pada tahun ini melibatkan 43 buah sekolah, 32 gereja, 21 tokong dan empat kuil.
|